
KEMAMAN – Kemerdekaan jiwa dan kebebasan daripada sebarang bentuk penghambaan selain ketaatan kepada Allah merupakan antara objektif perutusan Nabi Muhammad sebagai rasul kepada seluruh umat.
Pengarah YADIM Terengganu, Mohd Kamal Nazmi Kamarudin berkata, kemerdekaan jiwa yang sebenar akan membebaskan minda daripada ideologi sesat yang merosakkan ajaran Islam.
“Ini merupakan objektif kerasulan Nabi Muhammad,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Kemerdekaan dan Maulidur Rasul di Sekolah Kebangsaan Mak Lagam.
Program anjuran Pertubuhan Wanita Aspirasi Sejahtera (WANIS) dengan kerjasama YADIM Terengganu dan KEMAS Kemaman itu menampilkan acara mewarna merdeka bagi murid prasekolah dan Tadika KEMAS serta majlis berselawat bersama guru, ibu bapa dan pelajar.
Selain itu, MIMOS turut membuka booth pendaftaran MyDigital ID sempena program berkenaan.
Pengurus MyDigital ID, Norazlina Abdul Aziz berkata, kadar pendaftaran di Terengganu masih rendah berbanding negeri lain.
“Dengan adanya kerjasama program seperti ini, diharapkan lebih ramai akan mendaftar sekali gus meningkatkan kadar pendaftaran di Terengganu,” katanya.
Untuk rekod, sambutan kali ini turut mendapat sokongan Pejabat Penerangan Daerah Kemaman dan JKOM Kemaman.