KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan memberi jaminan insiden buli yang berlaku ke atas Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak akan berulang kepada mana-mana pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata beliau percaya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi perhatian supaya perkara sebegitu tidak berulang di semua universiti.
Katanya, UPNM bukan di bawah kawalan dan pengawasan 100 peratus Kementerian Pertahanan.
“UPNM sebagai universiti adalah tertakluk di bawah KPT, tapi daripada segi hubungan dengan Kementerian Pertahanan, kampus terletak dalam kawasan kita dan visi datang daripada kita.
“Jadi dalam hal ini, kita juga beri perhatian dan sampaikan kepada pihak pengurusan universiti untuk pastikan ia tidak berlaku di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), di sini, hari ini.
Katanya, kejadian berkenaan berlaku pada 2017 dan beliau percaya selepas itu tiada lagi insiden serupa.
“Saya percaya selepas itu tiada lagi perkara-perkara ini berlaku. Jadi maknanya mungkin tindakan yang sewajarnya sudah diambil oleh pihak universiti,” katanya lagi seperti dilapor Berita Harian.
Sementara itu, mengulas kenyataan Veteran UMNO bahawa Pas berusaha meyakinkan Perdana Menteri untuk menerima parti itu dalam gabungan Kerajaan Perpaduan, Mohamed Khaled berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu.
“Saya tak tahu sebab saya tak ada hubungan dengan Pas,” tegasnya yang juga Naib Presiden UMNO.






