KOTA KINABALU – Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus menyokong pembangunan industri kandungan kreatif tempatan, khususnya di Borneo.
Menurut Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, sebanyak enam buah syarikat produksi Sabah menerima surat tawaran bagi Dana Program TV (Borneo) berjumlah RM1.15 juta, khusus untuk penerbitan supertelefilem berkualiti tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa etnik tempatan.
“Program ini bertujuan meningkatkan kandungan siaran tempatan serta memacu kerjasama strategik antara penggiat industri dengan stesen penyiar seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan media swasta.
“Industri kreatif merupakan antara sektor yang terus diberikan keutamaan oleh Kerajaan MADANI.
“Industri ini bukan sekadar wadah hiburan, malah menjadi pemacu ekonomi, pencipta peluang pekerjaan dan medium untuk membina naratif kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima DANA Kandungan Kreatif (DKK) kepada Penggiat Industri Kreatif Sabah, di Hotel Promenade, di sini pada Selasa.

Pada majlis tersebut, penyerahan Dana Pasca Produksi kepada sebuah syarikat produksi Sabah dengan nilai hampir RM240,000.00 bagi memperkasakan aspek teknikal pascapenggambaran seperti visual effects, colour grading dan Dolby Atmos.
Fahmi berkata, penyerahan Surat Setuju Terima ini membuktikan iltizam Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi dalam mendukung penggiat seni di seluruh pelosok tanah air sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kandungan kreatif serantau.
Sementara itu, walaupun banyak kisah kejayaan industri filem kita sehingga ke luar negara, seperti ‘Blood Brothers: Bara Naga’ dan terkini ‘Ejen Ali The Movie 2’, namun beliau tidak pernah lupa kejayaan yang membanggakan daripada anak-anak Sabah.
Antaranya Sinakagon, arahan anak muda Sabah Timothy Stephen, menjadi filem bahasa Dusun pertama yang ditayangkan di Netflix dan meraih anugerah di Rome Independent Film Awards serta Milan Independent Awards.
“Dan Ninavau, sebuah filem Kadazan arahan Bebbra Mailin, yang dipilih sebagai Filem Pembukaan di Malaysia International Film Festival (MIFFest) 2025.
“Ini satu pengiktirafan besar terhadap karya dari Sabah yang menampilkan suara dan budaya tempatan,” katanya.
Selain penyerahan dana, satu usaha strategik baharu hasil perbincangan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor iaitu Kementerian Komunikasi melalui FINAS telah bersetuju untuk melaksanakan kerjasama dengan BORNEO TV menerusi Dana Program TV (Borneo).
“Dana tersebut sebelum ini dilaksanakan bersama RTM dan kini, kandungan yang dihasilkan oleh penerima Dana Program TV (Borneo) akan turut disiarkan di platform BORNEO TV,” ujarnya.
Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif BORNEO TV, Datuk Izelan Basar.





