
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada keperluan untuk merombak struktur Kementerian Ekonomi susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai anggota Kabinet.
Menurut beliau, kementerian berkenaan akan terus berfungsi seperti biasa dan tiada perancangan untuk menutup atau membubarkannya dalam masa terdekat.
“Saya fikir tidak ada keperluan untuk kita merombak apa-apa setakat ini. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Rafizi yang telah berkhidmat dengan baik sebagai Menteri Ekonomi. Saya akan membuat keputusan berkenaan mana-mana menteri atau kementerian yang menjalankan tugas pada waktunya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Persidangan Energy Asia 2025 di ibu negara, hari ini.
Anwar menjelaskan bahawa Kementerian Ekonomi pada asalnya merupakan Unit Perancang Ekonomi (UPE) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
UPE kemudiannya dinaik taraf menjadi kementerian semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang pertama.
Beliau berkata, EPU adalah agensi yang berkesan di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan kemudian sebuah kementerian ditubuhkan yang sebenarnya menguruskan fungsi EPU.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengulas mengenai peletakan jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau memaklumkan bahawa ruang telah diberikan kepada Nik Nazmi untuk mempertimbangkan keputusan tersebut dengan sewajarnya.
“(Status Nik nazmi? Dah beri jawapan) belum saya selalu tunggu bagi peluang fikir renung dan saya bagi pandangan saya kalau boleh teruskan tapi ada masa lagi dia (Nik Nazmi) habis.
“(Terima peletakan jawatan Nik Nazmi) Kita bagi ruang, kita jangan suruh terima kalau dia masih cuti, tarikhnya belum sampai.” katanya.
Peletakan jawatan Nik Nazmi berkuat kuasa pada 4 Julai 2025.




