KUALA LUMPUR – Kemenangan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR mempamerkan isyarat jelas kepada semangat perpaduan dan kebangkitan baharu dalam kepimpinan parti.
Naib Ketua Cabang Bandar Tun Razak, Jonathan Vela berkata, kemenangan itu bukan sahaja merupakan pencapaian peribadi yang luar biasa, sebaliknya ia sebagai merupakan detik bersejarah dalam pemilihan PKR.
Menurut beliau, kepimpinan beliau menjadi simbol harapan buat rakyat Malaysia yang menginginkan pembaharuan dan masa depan yang lebih baik.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Nurul Izzah Anwar atas kemenangan bergaya beliau sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Ini bukan sekadar kemenangan politik ia adalah detik penting yang memperkukuh peranan dan suara komuniti India dalam kepimpinan negara,” katanya menerusi kenyataan, pada Ahad.

Terdahulu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baharu selepas memenangi pemilihan bagi jawatan itu untuk sesi 2025-2028.
Beliau menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi selepas memperoleh 9,803 undi.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri R. Ramanan atas kejayaan dipilih menjadi Naib Presiden PKR dan merupakan satu kemenangan amat bermakna khususnya kepada komuniti India di Malaysia.
Katanya, kejayaan itu adalah bukti bahawa kepimpinan yang berteraskan prinsip, kerja keras dan kesetiaan kepada perjuangan mampu membawa perubahan dalam mengangkat suara komuniti.
“Kemenangan Datuk Seri Ramanan memberi nafas baharu kepada hasrat yang telah lama diperjuangkan dan menetapkan satu penanda aras penting bagi kemajuan yang lebih inklusif dalam landskap masyarakat majmuk Malaysia.

“Sehubungan itu, kemenangan kedua-dua mereka menandakan satu lembaran baharu yang penuh harapan dan mencerminkan mandat rakyat untuk perubahan sebenar, kepimpinan berprinsip serta masa depan yang lebih gemilang,” katanya.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh dipilih antara empat Naib Presiden PKR yang baharu dalam pemilihan parti itu semalam.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu satu-satunya pemenang yang bukan penyandang dalam kalangan empat Naib Presiden baharu PKR.
Tiga penyandang itu adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Aminuddin menang selepas memperoleh 7,955 undi di tempat pertama, diikuti Ramanan (5,895 undi); Aminuddin (5,889 undi) serta 5,757 undi diperoleh Lih Kang.





