
KOTA SAMARAHAN – Keperluan pendidikan juga perlu diambil kira termasuk proses yang lebih fleksibel dan berkesan supaya dapat mengembangkan potensi pelajar.
Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata aspek pendidikan tersebut perlu diambil perhatian supaya pelajar di kawasan pedalaman tidak ketinggalan.
“Seiring perkembangan pendidikan global, sistem pendigitalan yang baik perlu direalisasikan dengan jayanya,” kata beliau.
Beliau juga merangkap Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata proses pembelajaran yang berkesan dan fleksibel sangat diperlukan supaya dapat memberi impak positif kepada pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.
“Saya sangat berbesar hati dengan perancangan dan usaha meningkatkan tahap pembelajaran pelajar supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus perkembangan pendidikan global,” ujar beliau lagi.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dan perbincangan program dan aktiviti bersama wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Samarahan, Pengetua-pengetua dan PIBG sekolah Tingkatan 6 di kawasan P197 Kota Samarahan.
Selain itu, perjumpaan tersebut turut membincangkan program dan aktiviti yang perlu dilaksanakan untuk meningkatkan tahap pembelajaran pelajar STPM dan mengembangkan potensi pelajar.







