Kelantan, Terengganu rekod penagih dadah tertinggi sehingga September 2024

DALAM tempoh sembilan bulan pertama tahun 2024, 169,691 orang penagih dadah direkodkan di negara ini dengan peningkatan sebanyak 40,780 orang berbanding tahun lalu bagi tempoh masa yang sama, meliputi 162,360 daripadanya adalah lelaki manakala 7,331 selebihnya adalah wanita.

Dadah jenis sintetik dalam kategori Amphetamine Type Stimulants (ATS) yang dihasilkan secara pemprosesan campuran bahan kimia seperti syabu dan batu dalam bentuk kristal menjadi penyumbang angka paling banyak iaitu 119,410 orang bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024, menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh.

Dadah dalam bentuk tablet melibatkan dadah seperti pil kuda, ecstacy dan pil yaba malah dadah jenis Opiat pula mencatatkan angka kedua tertinggi dengan catatan kes sebanyak 38,854 orang diikuti ganja seramai 6,750 orang dan pil psikotropik (2,114).

Taburan kes penyalahgunaan dan penagihan dadah mengikut negeri pula, Kelantan mencatatkan negeri paling ramai penagih dadah bagi setiap 100,000 penduduk setakat September 2024 dengan jumlah seramai 980 orang.

Data itu disusuli dengan Terengganu (884 orang), Kedah (790 orang), Pahang (704 orang), Pulau Pinang (700 orang) dan Melaka (664 orang).

Mengikut kategori umur pula, belia berusia antara 19 hingga 39 tahun mencatatkan angka paling tinggi iaitu sebanyak 98,977 kes, diikuti golongan dewasa berusia 40 tahun ke atas sebanyak 69,937 kes adapun golongan remaja yang berusia antara 13 hingga 18 tahun mencatatkan angka sebanyak 776 kes, manakala kanak-kanak di bawah usia 12 tahun merekodkan satu kes.

Menurut Laporan Maklumat Dadah yang disediakan oleh AADK, pada tahun 2023, 145,526 penagih yang terlibat dengan kes penyalahgunaan dan penagihan dadah telah direkodkan, dengan jumlah kes terbanyak didapati di negeri Johor iaitu seramai 15,940 orang.

Diikuti dengan 14,638 di Selangor, 13,974 individu yang mengambil dan menyalah guna dadah di Kedah, dan 13,915 di Kelantan, yang mana daerah tertinggi melibatkan kawasan Johor Bahru (6,093), Kuantan (3,747) dan Hulu Langat (3,308).

Daripada jumlah tersebut, 95.7 peratus terdiri daripada individu lelaki, 76.4 peratus adalah berbangsa Melayu, kebanyakannya berumur diantara 15 hingga 39 peratus iaitu kategori belia (63.2 peratus) dengan ketagihan paling banyak dikesan bagi dadah stimulan jenis amfetamin (71.5 peratus), diikuti opiat dan ganja masing-masing 23.3 peratus dan 3.0 peratus.

Selain itu, kadar penagih bagi setiap 100,000 penduduk pula mencatatkan jumlah tertinggi daripada negeri Terengganu iaitu 997 per 100,000 orang, diikuti Perlis dengan 957 penagih manakala Pahang dengan 791 orang.

Bagi tahun sama, tiga daerah mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi iaitu 1,590 penagih dicatatkan di daerah Pendang, Kedah manakala 1,169 di Besut, Terengganu dan 1,114 di Bachok, Kelantan.

Seterusnya bagi tahun 2022 pula, 137,176 penagih yang terlibat dengan kes penyalahgunaan dan penagihan dadah telah direkodkan, dengan taburan kes terbanyak didapati di Johor (14,317), Kelantan (13,316), Terengganu (13,314) dan Kedah (13,267).

Namun jumlah kes terbanyak bagi setiap 100,000 penduduk didapati di negeri Terengganu iaitu seramai 13,214 orang, diikuti dengan 12,253 di negeri Pahang dan 2,116 individu yang mengambil dan menyalah guna dadah di negeri Pahang.

Daripada jumlah tersebut, 88,214 penagih dan penyalah guna dadah terdiri daripada golongan muda berumur diantara 15 hingga 39 tahun iaitu kategori belia (64.3 peratus) melibatkan ketagihan paling banyak dikesan bagi dadah stimulan jenis amfetamin (68 peratus) dan Opiat (27 peratus).

Bagi tahun 2021, 123,139 penagih yang terlibat dengan kes penyalahgunaan dan penagihan dadah telah direkodkan, dengan jumlah kes terbanyak didapati di negeri Kedah iaitu seramai 13,502 orang.

Diikuti dengan 13,261 di Johor, 12,182 individu yang mengambil dan menyalah guna dadah di Selangor, dan 12,033 di Terengganu, yang mana daerah tertinggi melibatkan kawasan Johor Bahru (6,093), Kuantan (3,747) dan Hulu Langat (3,308).

Daripada jumlah tersebut, golongan belia berumur 19 sehingga 39 tahun mencatatkan peratusan yang tertinggi sebagai penyalah guna dan penagih dadah serta bahan iaitu sebanyak 65.9 peratus dari keseluruhan penagih dadah dan bahan.

Kategori Amphetamine-Type Stimulants (ATS) masih dominan sebagai dadah yang paling banyak disalahgunakan pada tahun 2021 iaitu sejumlah 79,816 atau 64.8 peratus orang penyalah guna dan penagih dadah dan bahan menyalah guna dadah jenis ATS, diikuti dengan dadah jenis Opiat seramai 39,100 orang atau 31.7 peratus.

Selain itu, kadar penagih bagi setiap 100,000 penduduk pula mencatatkan jumlah tertinggi daripada negeri Terengganu iaitu 944 per 100,000 penduduk, diikuti Perlis dengan 731 penagih manakala Pahang dengan 626 orang.

Secara keseluruhannya, berdasarkan statistik dari tahun 2021 hingga 2023, peningkatan taburan penyalah guna dan penagih mengikut demografi dan populasi penduduk menunjukkan
bahawa negeri yang berada berdekatan dengan sempadan negara mempunyai taburan yang lebih tinggi.

Selain itu, julat umur di antara 15 hingga 39 tahun yang sepatutnya menjadi penyumbang terbesar kepada produktiviti negara malangnya memegang gelaran sebagai golongan yang mendominasi peratusan penyalah guna dan penagih dadah serta bahan dan mencatatkan peningkatan jumlah saban tahun.

Dari segi perubahan pola penagihan dadah pula, sejak 2017, ketagihan dadah jenis opiat telah beralih kepada stimulan yang mana dadah jenis stimulan ini merupakan ‘drug of choice’ dengan peratusan sebanyak 70 peratus daripada jumlah yang direkod pada tahun 2023.

Related Posts

TYT Sabah, isteri zahir takziah kepada keluarga mangsa korban banjir, tanah runtuh

KOTA KINABALU – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa korban banjir dan tanah runtuh yang berlaku di…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hajiji ingatkan wakil rakyat, JPBD pantau rapat situasi banjir dan tanah runtuh

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan semua wakil rakyat dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) supaya memantau dengan rapat situasi bencana di kawasan masing-masing…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Saarani tinjau mangsa banjir di Muallim

Saarani tinjau mangsa banjir di Muallim

Menjawab kritikan Zaid Ibrahim, Malaysia konsisten perjuang hak rakyat Palestin

Menjawab kritikan Zaid Ibrahim, Malaysia konsisten perjuang hak rakyat Palestin

TYT Sabah, isteri zahir takziah kepada keluarga mangsa korban banjir, tanah runtuh

TYT Sabah, isteri zahir takziah kepada keluarga mangsa korban banjir, tanah runtuh

Hajiji ingatkan wakil rakyat, JPBD pantau rapat situasi banjir dan tanah runtuh

Hajiji ingatkan wakil rakyat, JPBD pantau rapat situasi banjir dan tanah runtuh

Banjir, tanah runtuh di Sabah: 1,707 penduduk terjejas, 16 PPS dibuka

Banjir, tanah runtuh di Sabah: 1,707 penduduk terjejas, 16 PPS dibuka

Usaha pulih tiang menara di Sarapung diteruskan walaupun hujan lebat

Usaha pulih tiang menara di Sarapung diteruskan walaupun hujan lebat