
JOHOR BAHRU- Kemenangan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), Lawrence Wong, pada Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025), kelmarin, dijangka terus mengukuhkan pelbagai agenda diantara Johor dan negara republik berkenaan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, segala perancangan dan strategi yang dirangka melibatkan negeri ini dengan Singapura terus menonjol dan memberi pengaruh terhadap sudut ekonomi kedua-dua pihak.
Justeru katanya, kejayaan kekal milik parti PAP itu dilihat suatu perkara positif khususnya Johor yang ketika ini melakukan banyak kerjasama dengan Singapura.
“Saya mewakili Kerajaan Negeri Johor merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri Singapura, TYT Lawrence Wong, dan Kerajaan Singapura atas kemenangan Pilihan Raya Umum 2025.
“Saya yakin hubungan Johor–Singapura akan terus berkembang secara progresif dan inklusif demi kesejahteraan rakyat di kedua-dua belah Tambak Johor. Semoga hubungan ini terus utuh dan diberkati dengan lebih banyak kejayaan,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.
Ujarnya, Johor sentiasa menghargai hubungan dua hala yang erat dengan Singapura, terutamanya melalui pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang bakal memperkukuh lagi kerjasama strategik antara kedua-dua wilayah.
Menurut beliau, kemenangan itu mencerminkan keyakinan rakyat Singapura terhadap kepimpinan yang berwibawa dan berpandangan jauh, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Sabtu lalu, PAP berjaya mengekalkan majoriti melebihi dua pertiga dalam PRU 2025 dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen.
PAP memperoleh kemenangan besar dengan 65.57 peratus undi popular, mencatat peningkatan lebih empat mata peratusan berbanding keputusan pada 2020.





