KUANTAN – Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menyerbu kawasan menjalankan aktiviti pembukaan tanah secara haram di Sungai Perdak dekat Bentong, hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dianggarkan kira-kira 400 hektar tanah kerajaan di kawasan tersorok antara Hutan Simpan Kekal Lentang Tambahan dekat sempadan Negeri Sembilan diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.
Hasil siasatan mendapati kawasan itu ditanam dengan pokok durian.
“Kerajaan negeri memandang serius aktiviti pencerobohan tanah secara haram dan sebagai langkah tegas, saya mengarahkan UPNP mengambil tindakan penguatkuasaan.
“UPNP telah melakukan serbuan ke kawasan terbabit hari ini dan menyita rumah pekerja serta peralatan yang ditemui di lokasi berkenaan.
“Malah, saya juga mengarahkan agar pokok durian yang ditanam di situ, dimusnahkan bagi memastikan aktiviti pencerobohan tidak terus berlaku,” katanya melalui satu kenyataan, petang tadi.
Wan Rosdy berkata, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut Seksyen 426A (1) (c) Kanun Tanah Negara (Akta 828).




