
KEBEBASAN bersuara tidak boleh sama sekali mengatasi kepentingan perpaduan nasional dan kedaulatan undang-undang di Malaysia sehingga menggugat keharmonian pelbagai bangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sebagai negara majmuk mesti terus berteraskan keharmonian, menghormati sensitiviti setiap pihak serta mematuhi peraturan dan undang-undang.
“Prinsip kita sebagai sebuah negara majmuk adalah jelas dengan menjunjung keharmonian, menghormati setiap sensitiviti dan sentiasa bergerak dalam jalur hukum.
“Malaysia hanya akan terus aman dan makmur apabila semua pihak berpegang teguh kepada nilai saling menghormati, mematuhi peraturan dan menolak sebarang tindakan yang menggugat keharmonian nasional,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, pada Khamis.
Dalam pada itu, menerusi hantaran sama, Anwar turut berkongsi video yang menegaskan kegagalan menghormati prinsip berkenaan boleh menimbulkan isu dan masalah dalam masyarakat.
“Negara mesti berasaskan peraturan dan undang-undang, bukannya kehendak atau kecenderungan individu.
“Walau sekuat mana perasaan seseorang, sama ada suka atau tidak suka, menghormati atau tidak menghormati kepercayaan antara satu sama lain, terdapat peraturan asas yang wajib dipatuhi,” katanya.
Perdana Menteri mengakui pendirian itu mungkin tidak popular dalam kalangan segelintir pihak.
Bagaimanapun, sesebuah negara tidak boleh membenarkan mana-mana kumpulan bertindak dengan mengetepikan peraturan dan undang-undang.
“Dalam masa yang sama, kita perlu memastikan negara ini kekal aman dengan berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.






