DALAM Kerajaan Madani sedang membina semula kestabilan dan semakin meraih kepercayaan rakyat, pastinya yang sedang susah hati adalah pembangkang.
Apa tidaknya, pembangkang ketika ini seperti hilang arah dan ketandusan modal politik untuk menghasut rakyat membenci Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Maka tidak hairan rakyat ketika ini dihidangkan dengan satu fenomena politik yang semakin menjengkelkan iaitu politik desperado.
Isu terkini melibatkan “abang belon” menjadi contoh klasik bagaimana sesetengah ahli politik sanggup menunggang apa sahaja isu, tanpa mempedulikan konteks sebenar, asalkan dapat dijadikan alat untuk membakar sentimen rakyat dan memalit kebencian terhadap kerajaan.
Ya, tindakan kasar oleh anggota penguatkuasa DBKL terhadap individu yang sedang mencari rezeki di jalanan memang tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa siasatan.
Rakyat berhak menuntut penjelasan dan mangsa berhak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Namun, kita tidak boleh menafikan bahawa negara ini ada sistem perundangan.
Kita ada proses siasatan, tatacara keadilan, dan ruang pembelaan yang semuanya wujud untuk memastikan hak semua pihak, baik mangsa mahupun anggota penguatkuasa, dilindungi secara saksama.
Tetapi di sinilah datangnya watak-watak pembangkang yang ketandusan isu dan modal politik.
Mereka tidak datang untuk menyelesaikan, mereka hadir untuk menghasut. Mereka tidak membantu mencari kebenaran, mereka sibuk mencipta naratif kebencian.
Satu isu yang patut menjadi perbincangan matang kini bertukar menjadi pentas sarkas politik, penuh dengan suara jeritan, manipulasi emosi, dan persembahan dramatik yang tidak berkesudahan.
Pembangkang yang sebelum ini lesu dan tenggelam, kini tiba-tiba hidup kembali dengan menjadi “wira rakyat” dalam isu ini, tetapi hanya di depan kamera.
Mereka menjaja isu ini ke seluruh pelosok media sosial dan ceramah politik, menuduh kerajaan gagal, menekan rakyat, dan menindas golongan marhaen.
Ironinya, mereka tidak pun tampil untuk membantu secara sah, tidak memberi bantuan guaman, tidak mengangkat suara dalam platform rasmi, tetapi memilih untuk menjadi juara “mahkamah netizen” kerana di situlah sentimen mudah dimanipulasi.
Inilah politik murahan yang sangat merugikan rakyat. Bila segala isu ditunggang demi kepentingan politik, kepercayaan kepada sistem mula runtuh.
Orang awam keliru antara fakta dan propaganda. Mereka mula hilang keyakinan kepada proses keadilan, kerana seolah-olah keputusan hanya ditentukan oleh siapa yang paling kuat bersuara di media sosial, bukan siapa yang benar di sisi undang-undang.
Lebih menyedihkan, budaya ini mencipta satu gelombang rakyat yang mudah dimanipulasi, cepat marah, dan malas menyemak fakta.
Akhirnya, yang menang bukanlah kebenaran, tetapi persepsi. Dan itu adalah racun yang sedang perlahan-lahan melemahkan demokrasi kita.
Kita perlu matang sebagai rakyat. Kita boleh marah atas ketidakadilan, kita boleh bersuara menuntut kebenaran, tetapi jangan biarkan diri kita dijadikan alat oleh mereka yang hanya mahu kuasa, bukan keadilan.
Dalam isu ini, biarlah undang-undang mengambil tempat. Biarlah siasatan berjalan, biarlah mahkamah menentukan siapa benar dan siapa salah. Jangan kita ganggu proses itu dengan suara-suara yang hanya mahu melihat negara ini terus berpecah.
Kerajaan bukan sempurna, tetapi kerajaan tidak boleh diadili berdasarkan satu insiden yang sengaja dipolitikkan.
Begitu juga, pembangkang tidak layak digelar pembela rakyat jika satu-satunya sumbangan mereka adalah mengapi-apikan rakyat untuk membenci, bukan membina.
Cukuplah dengan politik kebencian. Negara ini perlukan penyelesaian, bukan lebih banyak masalah.







