
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan pihaknya menyembunyikan Titah Adendum yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, pihaknya menerusi Jabatan Penjara tidak pernah menerima arahan mengenai perintah tahanan rumah bagi bekas Perdana Menteri itu.
Menurutnya, pihak penjara hanya menerima surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri berkaitan pengurangan hukuman dan denda membabitkan Najib.
“Pada 2 Februari 2024, KDN khususnya Jabatan Penjara, kita menerima surat daripada BHEUU iaitu sekretariat dalam Lembaga Pengampunan dan dalam surat itu ada dua perkara, pertama disertakan minit mesyuarat dan kedua ialah perintah.
“Minit mesyuarat mengandungi semua perbincangan yang berlangsung (dalam Lembaga Pengampunan), itu saya tak boleh dedah sebab rahsia besar dan perintah pula ialah mengenai pengurangan hukuman ke atas Datuk Seri Najib seperti mana yang diketahui sebelum ini.
“Penjara terima surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), surat ada dua perkara iaitu minit mesyuarat membabitkan semua perbincangan keputusan keputusan berlangsung dalam Lembaga Pengampunan dicatit sebagai minit mesyuarat.
“Dalam surat ini dia sebut, sebagai Tuanku Agong ketika itu, disaksikan, ada dua tandatangan, yang pertama pengerusi LP, kedua menyaksikan, Menteri Wilayah Zaliha Mustafa,” katanya pada sidang media di KDN, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, surat yang diterima oleh KDN tidak menyebut apa-apa mengenai tahanan rumah.
Oleh itu, katanya, Jabatan Penjara hanya melaksanakan arahan yang terkandung dalam perintah tersebut.
“Adalah penting untuk menjelaskan bahawa KDN dan Jabatan Penjara tidak menyembunyikan sebarang keputusan Lembaga Pengampunan atau gagal mematuhinya.
“Kami hanya melaksanakan perintah yang sahih dan rasmi, seperti yang diterima,” katanya.
Katanya, KDN juga tidak menerima sebarang komunikasi daripada Istana Pahang membabitkan Titah Adendum berkenaan.
“Penting bagi menepis sebarang persepsi bahawa KDN khususnya Jabatan Penjara tidak patuh atau tidak akur jauh sama sekali daripada dikatakan menyembunyikan apa-apa keputusan oleh Lembaga Pengampunan itu.
“Fakta itu sangat penting ya. Jadi itu adalah intipati utama yang saya nak kongsi dengan rakan rakan media untuk memberikan perspektif yang lebih adil, lebih menyeluruh.
“Bagi memberikan kefahaman yang tepat tentang duduk sebenar perkara yang sekarang ini sedang diperkatakan,” katanya.
Terdahulu peguam kepada Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah harini ini dilaporkan berkata, Titah Adendum yang ditandatangani sendiri oleh Al-Sultan Abdullah wujud namun disembunyikan daripada umum dan mendedahkan ia disahkan sendiri oleh Mohamad Nizar.
Jelas Muhammad Shafee, Mohamad Nizar sendiri menerima dokumen itu namun ia tidak ditandatangani kerana ia adalah rekod peribadi baginda.
Beliau kemudian merujuk sepucuk surat bertarikh 4 Januari lalu yang dialamatkan kepada Mohamad Nizar yang memperakukan kewujudan dan kesahihan Titah Adendum berkenaan.