
KOTA KINABALU – Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) perlu berperanan sebagai kementerian strategik yang menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan sosial, pembangunan modal insan dan ekonomi masa hadapan Sabah.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, belia, sukan dan ekonomi kreatif merupakan komponen teras dalam kerangka pembangunan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta prinsip ESG.
“Jika kita gagal mengurus belia dengan baik, kita sedang menangguhkan masalah sosial masa hadapan. Jika kita gagal memanfaatkan sukan dan kreativiti sebagai industri, kita sedang melepaskan peluang ekonomi yang besar.
“Oleh itu, saya mahu seluruh warga kementerian memahami bahawa tanggungjawab kita bukan kecil, ia sangat besar dan berimpak jangka panjang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat Menteri dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah KBSK di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Selasa.
Tambah Nizam, SMJ 2.0 yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bukan sekadar dokumen perancangan, sebaliknya satu komitmen politik dan pentadbiran untuk memimpin perubahan dalam dunia yang semakin kompleks dan berdaya saing.
“Dunia hari ini dipacu oleh kecerdasan buatan, ekonomi digital, perdagangan rentas sempadan dan perubahan struktur pekerjaan.
“Justeru, kerajaan negeri mesti bergerak lebih pantas, lebih cekap dan lebih berani membuat keputusan yang berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.
Nizam turut menegaskan bahawa tiada toleransi terhadap rasuah, salah guna kuasa atau kecuaian dalam menjalankan tanggungjawab.
“Penjawat awam bukan sekadar pelaksana dasar, tetapi penjaga integriti sistem dan wajah kerajaan di mata rakyat.
“Setiap keputusan, setiap kelulusan dan setiap perkhidmatan mesti lahir daripada niat yang bersih dan komitmen untuk bekerja keras demi masyarakat, bukan demi kepentingan peribadi,” ujarnya.
Turut hadir, Pembantu Menteri KBSK, Datuk Seri Dr Anil Sandhu; Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Syed Ahmad Syed Abbas; Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansur Asun; Timbalan Setiausaha Tetap (Kemajuan Sukan dan Pentadbiran Cawangan), Adanan @ Adnan Atin; Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN Sabah), Mohd Asneh Mohd Nor dan Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Terrance Edward Pudin.




