
KAUM Cina akan memilih kestabilan politik sekali gus akan memenangkan calon Kerajaan Perpaduan daripada Barisan Nasional (BN), Dr Yusri Bakir pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning ini.
Keyakinan itu dinyatakan oleh Naib Ketua PKR Perak, Tan Kar Hing yang berkata, sokongan pengundi bukan Melayu terhadap Yusri tidak perlu digusarkan namun ada beberapa faktor yang memerlukan jentera kempen bekerja keras sebelum tempoh berkempen berakhir pada Jumaat depan.
“Saya masih lagi ada keyakinan yang besar dari segi peratusan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap calon Kerajaan Perpaduan, cuma ada beberapa faktor yang menjadi cabaran ketika ini.
“Kita semua tahu, yang kita baru melalui perayaan yang besar, baik untuk Muslim dan bukan Muslim, jadi peratusan keluar mengundi akan menjadi cabaran yang besar kali ini,” katanya kepada media di pekan Ayer Kuning, semalam.
Justeru, Kar Hing yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, pendekatan cara berkempen pada PRK Ayer Kuning juga berbeza dengan lebih fokus perjumpaan secara langsung kepada pengundi.
“Tiada ceramah-ceramah umum yang besar, kalau ada pun mungkin satu atau dua nanti. Kita terus jumpa kepada pengundi, cara ini lebih dekat dengan hati mereka, kita boleh dapat tahu apa masalah dan apa yang mereka mahu.
“Kestabilan politik penting. Saya masih yakin orang Cina akan mengundi calon BN cumanya sekarang macam mana cara kita atasi untuk seru pengundi balik kampung mereka untuk laksanakan tanggungjawab mereka, itu yang penting,” katanya.
Menyentuh sentimen yang dimainkan pembangkang pada PRK Ayer Kuning ini, Kar Hing membidas Perikatan Nasional (PN) yang berterusan menggunakan sentimen perkauman, keagamaan untuk meraih undi.
“Pembangkang dilihat tiada tema berkempen, kering dan tiada modal politik. Pemimpin PN sentiasa memainkan api perkauman yang mana tidak baik untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini.
“Lebih baik kita fokus untuk bantu rakyat, apa isu-isu setempat yang berbangkit untuk pembangunan dan memakmurkan ekonomi rakyat.
“Apa yang penting kita mesti kena kekalkan kestabilan politik yang dikecapi ini supaya kerajaan yang ada ini senang untuk membela nasib rakyat dan membangunkan kawasan khususnya di Ayer Kuning,” katanya.
Peratusan komposisi kaum Cina di DUN Ayer Kuning ialah 22.9 peratus berbanding kaum Melayu 55.97 peratus dan India 14.38 peratus.
PRK Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Yusri menentang calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).





