
KOTA KINABALU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah merampas 20.295 kilogram dadah jenis Methamphetamine dianggarkan bernilai RM649,449 dalam rampasan di Gudang Mas Kargo, di sini pada 30 Ogos lepas.
Menurut kenyataan rasmi di Facebook JKDM Zon Sabah, kesemua dadah diperolehi dalam satu bungkusan plastik kuning keemasan dikesan pegawai kastam kargo udara, Pasukan Cawangan Narkotik Zon Sabah.
”Terdapat 20 bungkusan plastik kuning keemasan disyaki mengandungi dadah berbahaya. Pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan itu menemui sejumlah dadah jenis ‘methamphetamine’.
”Kesemua dadah dibungkus menggunakan plastik warna kuning keemasan dipercayai bertujuan untuk mengelirukan pihak berkuasa.
”Modus operandi kes ini adalah menggunakan bungkusan plastik warna kuning keemasan dengan jenama ‘Guanyinwang’ yang cuba diseludup masuk ke dalam negara melalui kargo udara,”kata kenyataan itu di sini pada Rabu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup.
Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.







