KUALA LUMPUR – Penarikan subsidi ayam pada November 2023 disifafkan sebagai langkah dan strategi yang berjaya dihasilkan kerajaan dalam membanteras kartel ayam.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh berkata, perkara itu terbukti apabila
bekalan dan harga ayam stabil sehingga hari ini, berbanding ketika subsidi dilaksanakan.
Beliau menjelaskan, strategi terbabit membolehkan harga ayam kekal stabil walaupun subsidi telah ditarik, malah ada yang lebih rendah berbanding sebelum ini.
“Apabila kita menarik subsidi ayam pada 1 November 2023, sebelum itu kita ada masalah dengan harga ayam di mana (walaupun) kita ada harga kawalan RM9.40 dan subsidi tapi kita sukar tetapkan harganya sehingga peniaga terpaksa kenakan bayaran untuk potong ayam.
“Jadi, apa yang kita lakukan sebagai satu strategi adalah membanteras kartel makanan ayam di mana 70 peratus kos pengeluaran ayam adalah daripada makanan ayam. Jadi apabila kita banteras itu kita dapat kawal kos pengeluaran ayam,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen (PH) Sungai Petani, Dr Muhammed Taufiq Johari bertanyakan mengenai mekanisme pemantauan dan pelaporan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi memastikan semua intervensi kos sara hidup ini benar-benar memberi implak kepada pengguna.
Mengulas lanjut, Fuziah memaklumkan, meskipun subsidi ditamatkan namun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak dua tahun lalu melakukan memantau perkembangan harga ayam setiap hari.
Menurut beliau, usaha yang sama juga dilakukan dalam usaha memastikan harga telur dalam negara stabil.
“Tidak ada subsidi tapi kita kawal bekalan dan sepanjang rantaiannya dan kita periksa setiap hari dan kita tengok hari ini, harga ayam stabil, ada yang lebih rendah.
“Begitu juga subsidi telur ditarik tidak ada masalah bekalan dan harga. KPDN memang ada punca kuasa untuk meneliti sepanjang rantaian bekalan harga di setiap peringkatnya hingga ke peruncitan,” katanya.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, pemantauan harga dilakukan di setiap peringkat rantaian bekalan termasuk kos pengeluaran, bahan asas, kos pengedaran sehingga ke peruncitan.
“KPDN turut memastikan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan digunakan bersama akta lain seperti Akta Kawalan Bekalan, Akta Persaingan dan sebagainya bagi memastikan bekalan serta harga kekal terkawal,” katanya.







