
KOTA KINABALU – Karnival Tahun Baharu Cina mendapat sambutan hangat daripada pengunjung tempatan dan luar negara sekali gus memperkukuh perpaduan dan keharmonian di negeri Sabah.
Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Sr. Lifred Wong berkata, aspek paling penting yang dilihat dalam karnival ini adalah sokongan padu dan kerjasama erat daripada Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) dalam memastikan pengekalan tradisi dan warisan budaya terus menjadi keutamaan.
“Walau apa jua latar belakang agama dan bangsa, keharmonian hubungan antara kaum amat penting, namun budaya masing-masing tetap dikekalkan pada malam ini.
“Kita dapat melihat ramai pengunjung dari China dan mereka juga berasa takjub dapat melihat tradisi yang dikekalkan sehingga kini.
“Kalau kita lihat malam ini yang ramai ini pengunjung dari luar dan warga tempatan yang sama-sama memeriahkan acara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa hari kedua Majlis Malam Mesra Karnival Tahun Baharu Cina di Lintasan Deasoka, di sini pada Selasa.
Tambahnya, penganjuran program seumpama ini bukan sahaja menjadi platform mempromosikan budaya masyarakat Cina di Sabah dan memperkenalkan keunikan perpaduan negeri ini kepada pelancong luar.
“Ramai orang luar menyangka Malaysia hanya menekankan budaya Melayu semata-mata. Hakikatnya, kita unik, khususnya di Sabah.
“Kita meraikan semua perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Pesta Kaamatan dan pelbagai lagi,” ujarnya.
Tambahnya lagi, setiap acara kebudayaan bukan sekadar mempromosikan tradisi, tetapi menjadi ruang untuk generasi muda dan masyarakat pelbagai kaum saling mengenali antara satu sama lain.
Karnival tersebut adalah anjuran bersama FCAS da DBKK.




