
TAWAU – Karnival Kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) menjadi platform terbaik sebagai pentas perbincangan antara agensi kerajaan dan swasta berkaitan masa depan murid istimewa berkenaan.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata perogram seumpama itu berupaya memastikan anak-anak khas ini tidak tercicir dari ilmu pendidikan.
“Sebab itu semua pihak sama ada kementerian, swasta, syarikat berkaitan GLC, indvidu dan masyarakat perlu memastikan anak khas ini dapat kita bimbing dan bentuk agar mereka berdikari dan jalani kehidupan dengan lebih baik yang akan memberi manfaat kepada diri mereka dan masyarakat serta negara kelak.
“Sudah pasti dalam mengatur dan megawasi anak-anak itu ada cabaran. Oleh itu karnival ini bertepatan kerana memberi kesedaran kepada semua pihak untuk membantu murid ini dalam pendidikan mahupun kerjaya,” katanya selepas merasmikan Karnival MBPK Daerah Tawau di Dewan Masyarakat Tawau di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Nizam turut berharap ibu bapa terus memberi sokongan kepada anak-anak istimewa agar golongan ini mendapat persekitaran interaktif seiring pembangunan negara.
“Kita kena berikan terbaik untuk mereka dan jika mereka dikategorikan sebagai individu berkeperluan khas, ibu bapa jangan segan untuk masukkan mereka ke sekolah-sekolah seperti di Tawau, terdapat 17 Sekolah Menengah dan Rendah yang menawarkan kelas Pendidikan Khas.
“Mereka ada kecerdasan dan kemahiran yang perlu dicungkil kerana mereka ini adalah aset yang menyumbang kepada masyarakat dan boleh menjadi ‘role model’ yang mengharumkan nama negara,” tambahnya.
Karnival Kebolehpasaran MBPK yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat ini mengetengahkan pelbagai pengisian seperti pameran kemahiran dan inovasi pendidikan khas, pertandingan kesenian dan forum kebolehpasaran.




