KARNIVAL Deepavali bukan sahaja mampu merangsang ekonomi penduduk tempatan khususnya golongan B40 dan M40, malah berpotensi menjadi acara tahunan yang boleh menarik minat pelancong domestik serta antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, acara itu juga menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran tentang keunikan dan kepelbagaian budaya tempatan sekali gus menjadikan ia sebagai tarikan pelancongan yang bernilai.
“Inisiatif ini diharap dapat merancakkan ekonomi setempat dan memberi peluang kepada usahawan kecil untuk mempamerkan produk mereka,” katanya selepas berkunjung ke Karnival Deepavali ke-22 (DC24) anjuran Agenda Suria Communication di Kompleks Sukan Bukit Jalil, semalam.
Beliau berkata, penganjuran acara serupa di kawasan lain boleh dipertimbang untuk membuka peluang kepada individu atau organisasi berminat, namun pemilihan lokasi perlu kondusif termasuk tidak mengganggu aliran lalu lintas dan keharmonian penduduk setempat.
DC24, yang bermula dari 22 hingga 30 Oktober ini diadakan di Parkir Terbuka B dan dijangka menarik lebih 400,000 pengunjung.






