
SEMPORNA – Dengar sahaja kanser, sudah pasti ia menggerunkan sehingga banyak yang bermain difikirkan ibarat ia menjadi satu hukuman mati kepada yang menghidapinya.
Tapi tidak bagi seorang pejuang kanser payudara selama lapan tahun yang juga seorang usahawan makanan di Semporna, Nurhudah Tahil, 48, yang berpegang bahawa kanser bukanlah tiket kematian sebaliknya suatu perjuangan menjadikannya insan lebih kuat apabila mula menerima diagnosis sebagai pesakit kanser pada Julai 2016.
Berkongsi pengalaman itu kepada wartawan The Malaysia Press, wanita cekal yang mesra dipanggil Kak Huda itu dikesan menghidapi kanser payudara semasa menghadiri Kempen Payudara Pink Ribbon Tawau di Semporna.
“Semasa diperiksa, ada ketulan di payudara kiri kemudiannya saya diminta dirujuk ke Hospital Tawau dan mendapatkan temu janji untuk CT Scan.
“Tapi masa itu, saya baru balik dari Kuala Lumpur (KL) sebab 18 tahun di sana selain anak kedua saya masa itu baru berumur 12 tahun yang perlu menjalani Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), jadi saya kembali ke KL untuk buat pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR).
“Dua kali pemeriksaan dijalankan dan apabila keputusan kedua keluar mengesahkan kanser sehingga saya membuat keputusan pada masa itu untuk tidak mengambil rawatan kerana saya seorang ibu tunggal, tiada kerja tetap dan ada dua anak,” ujarnya ketika dihubungi.
BERMULA RAWATAN KANSER
Walaupun menolak menjalani rawatan sehingga tiga tahun, Hudah masih mengamalkan pemakanan sihat yang sesuai untuk penghidap kanser selain aktif bersama Komuniti Pink Ribbon.
Bagaimanapun pada Julai 2019, Hudah memulakan rawatan apabila payudaranya sakit dan merujuk perkara itu di Hospital Tawau dan telah didiagnosis pada tahap tiga kanser payudara.
“Pada 31 Julai 2019, saya membuat pembedahan membuang payudara dan menjalani kemoterapi sebanyak enam ‘cycle’ dan radioterapi 15 ‘cycle’.
“Saya memang berdisiplin makan ubat-ubatan dan menjalani rawatan dan juga sepatutnya berhenti makan ubat kanser pada 2025 (tahun ini).
“Saya tahu Allah SWT sayang saya, tiga tahun saya tanpa rawatan sehingga mereka di Pink Ribbon kenal saya sebagai ‘orang lari-lari’ sebab menolak rawatan dan akhirnya saya mendapatkan rawatan,” ujarnya.
KANSER MEREBAK
Beliau yang berasal dari Semporna itu berkata, selepas beberapa tahun, sebelum mengetahui bahawa kansernya merebak, beliau menghadapi kesukaran bernafas, cepat letih dan batuk yang lama dan hasil x-ray menunjukkan paru-parunya dimasuki air.
“Pada masa sama, saya turut membuat CT Scan tulang di Hospital Likas dan keputusan kurang baik yang telah merebak ke tulang belakang, dua rusuk, leher, termasuk hati, lapisan jantung dan lapisan paru-paru saya.
“Oleh itu, saya menjalani proses tebuk dan sejak Disember tahun lalu selama 23 hari saya di Hospital Tawau untuk mengeluarkan cecair di paru-paru dan menjalani kemoterapi,” katanya.
Jelasnya, pengalaman dan ilmu berkaitan kanser juga amat penting bagi memastikan persediaan diri berdepan dengan kanser.
“Dulu ‘stage’ (tahap) 3, sekarang ‘stage’ 4 dan yang penting perlu ilmu baik macam sebelum ini saya ada ilmu tentang terapi, contoh dulu selepas kemo ada kesan sampingan ada ruam teruk, sembelit, tapi dengan ilmu kita boleh atasi.
MEMASAK SEBAGAI TERAPI, JANA PENDAPATAN

Menurut Hudah, minatnya yang mendalam terhadap aktiviti memasak ini juga menjadi antara terapinya untuk tidak terlalu memikirkan penyakit dihidapinya walaupun adik-beradiknya sebelum ini risau akan kesihatannya.
Oleh itu, tidak mematahkan semangatnya sebagai pejuang kanser, Hudah juga aktif dalam perniagaan makanannya dengan jenama ‘Warung Nasi Lemak Kaw Hijau’ yang turut menerima tempahan katering di majlis perkahwinan atau sekolah.
“Saya merupakan penerima dana dan menerima tiga mesin iaitu mesin memasak, untuk ‘seal’ dan juga mesin menggiling cili dari Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah tahun lepas.
“Alhamdulillah rezeki saya teruskan perniagaan ini di kedai kawan saya tapi sekarang staf yang uruskan sebab saya masih dalam rawatan dan perlu berehat.
“Melalui jenama itu juga saya turut berniaga produk makanan berpeket seperti Sambal Ikan Bilis Garing Pedas, Sambal Pucuk Ubi Garing, Colek buah, dendeng daging dan lain-lain.
“Memasak ini adalah minat saya dan saya seronok melakukannya termasuk apabila pelanggan gembira dengan air tangan saya,” tambahnya.
KELUARGA SEBAGAI SUNTIKAN SEMANGAT
Tiada apa yang lebih berharga bagi Hudah apabila ibunya, kedua anak lelakinya berumur 25 dan 21 tahun serta ahli keluarganya yang lain menjadi penguat semangatnya untuk berdepan dengan kanser.
“Alhamdulillah saya bersyukur ada keluarga dan komuniti yang baik, ambil berat dan lebih positifkan diri saya, lapan tahun saya berjuang, takkan saya perlu angkat bendera putih kali ini?
“Ibu saya semasa saya di hospital hari-hari ‘video call’ doakan kesihatan saya dan anak-anak. Saya bersikap terbuka, jujur dengan keluarga, anak-anak saya juga perlu kuat, terima apa-apa kemungkinan berlaku dan Alhamdulillah mereka kuat.
“Apa yang saya harapkan kepada pejuang kanser lain, stage 1 hingga 4 itu hanya angka, janganlah berputus asa, buatlah sesuatu yang menggembirakan, selalu positif, menjalani kehidupan seperti orang lain.
“Semua orang akan mati, hidup mati Allah SWT tentukan, kita anggap ini satu perjuangan jadikan kita lebih kuat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar mereka yang mendapat diagnosis kanser untuk menerima dan menjalani rawatan di hospital dengan sebaiknya selain menjaga pola makanan termasuk kehidupan terutama emosi dan sosial.