
LAHAD DATU – Seorang kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Telisai, pada Rabu.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai Mohd Qalish Abdul Jumain.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.46 malam sebelum sepasukan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Felda Sahabat bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian.
Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal dan tiga buah motosikal turut musnah, manakala mangsa kanak-kanak ditemui rentung di sebuah bilik.
Operasi memadam kebakaran menggunakan dua aliran, tiga pancutan 300 kaki dan sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berhampiran.
Mangsa rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pukul 12.45 tengah malam.