KUANTAN – Baru lapan hari pulang ke rumah setelah banjir surut, beberapa keluarga dari Kampung Kurnia, dekat Endau, Rompin terpaksa kembali semula ke pusat pemindahan sementara (PPS), hari ini.
Ia selepas kempung itu kembali dilanda banjir kilat yang menjejaskan 13 keluarga melibatkan 49 mangsa.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Rompin memaklumkan, semua mangsa kini ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Setajam yang dibuka jam 12 tengah hari tadi.
Menurutnya, kejadian banjir itu berlaku susulan hujan lebat berterusan hingga air sungai berhampiran melimpah.
“Semua agensi berkaitan telah bergerak ke lokasi kejadian untuk melakukan pemantauan, proses permindahan penduduk terjejas, mengawal keselamatan serta menyelaras bekalan bantuan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, pasukan penyelamat dari Balai Polis Tanjung Gemok digerakkan bagi melaksanakan operasi bantuan dan menyelamat mangsa banjir di kampung berkenaan.
Operasi menyelamat digerakkan bagi membantu penduduk yang terperangkap akibat kenaikan paras air yang berlaku secara mendadak.
Menurut hantaran di Facebook Polis Daerah Rompin, misi pemindahan dilaksanakan berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu dan hujan lebat berpanjangan.







