PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pihak pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya sekiranya benar mempunyai sokongan majoriti bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Tegas beliau, sekiranya pembangkang mempunyai keyakinan terhadap kekuatan sokongan yang dimiliki, usul tersebut wajar dikemukakan secara berani dan telus di Dewan Rakyat yang mula bersidang hari ini.
“Saya beritahu Yang di-Pertua Dewan Rakyat, kalau ada usul hari ini, hari pertama sidang Parlimen, saya tunggu usul undi tidak percaya.
“Kalau ada majoriti, silakan,” katanya ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Julai Tahun 2025, pada Isnin.
Sehubungan itu, Anwar berkata, apa pelik apabila kerajaan dipaksa bertukar tanpa mahu menunggu pilihan raya umum yang diamalkan secara proses demokrasi selama ini.
Mengulas dakwaan kononnya terdapat perhimpunan besar-besaran untuk mendesak beliau berundur, Anwar menjelaskan bahawa beliau telah dimaklumkan oleh pihak polis mengenai perkara tersebut dan tidak mempunyai sebarang halangan.
“Ada yang kata Anwar kena turun. Saya dengar ada ribuan peserta. Polis beri laporan, saya kata teruskan, tiada halangan,” katanya.
Pada Ahad, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilaporkan berkata, usul undi tidak percaya kepada Anwar sama ada dikemukakan di Dewan Rakyat atau sebaliknya akan diketahui pada hari ini.
Beliau menjelaskan, sebarang pengesahan berkenaan perkara itu akan dimaklumkan pada hari pertama mesyuarat kedua penggal keempat Parlimen ke-15
Mengulas lanjut, Anwar menambah, beliau dimaklumkan wujud dakwaan kononnya kerajaan perlu digulingkan segera tanpa perlu menunggu pilihan raya umum.





