
KOTA BELUD – Kajian mengenai Projek Tamu Desa: Model Koperasi Sebagai Pengupayaan Keusahawanan Luar Bandar bakal menjadi rujukan penting kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam memperkasa keusahawanan luar bandar.
Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata, kajian bekenaan akan dilaksanakan selama enam bulan bermula Jun hingga Disember tahun ini oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Sabah, agensi di bawah kementerian dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“IKMa akan memulakan satu kajian Projek Tamu Desa, model koperasi sebagai pengupayaan keusahawanan luar bandar bermula bulan ini.
“Kita telah melantik pegawai penyelidiknya melibatkan penyelidik dari IKMa dan juga UMS yang akan membuat kajian di tapak-tapak Tamu Desa untuk menilai penyertaan masyarakat serta potensi model koperasi dalam pengurusan dan pembangunan aktiviti keusahawanan di Tamu Desa tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Jom Coop anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) sempena Sambutan Pesta Kaamatan dan Perasmian Premis Tamu Desa Kampung Melangkap, di Dewan Terbuka Tamu Desa Melangkap, di sini, pada Selasa.

Jelasnya, kajian ini penting kerana akan memberi input bermakna kepada KUSKOP dalam merangka dasar dan keputusan berkaitan, terutama melibatkan aspek penyelenggaraan, pemasaran dan jaringan antara Tamu Desa dari satu tempat ke tempat lain.
Sempena majlis itu, sebanyak 15 koperasi dari seluruh Kota Belud yang menerima kemudahan premis Tamu Desa turut menghadiri sesi taklimat, yang memberi penekanan kepada peranan koperasi sebagai entiti pengurusan Tamu Desa di peringkat kampung atau mukim masing-masing.
Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Pegawai Latihan Kanan IKMa Sabah, Shamsiah Shamsudin, sebagai ketua pasukan penyelidik bagi Projek Tamu Desa: Model Koperasi sebagai Pengupayaan Keusahawanan Luar Bandar.








