
ALOR SETAR – Tindakan Setiausaha Pemuda Pas Selangor yang menggesa Pemuda parti tersebut berkahwin dengan wanita bukan Melayu untuk mendapatkan sokongan dalam bentuk undi dari bukan Melayu adalah cadangan yang paling ‘jelek’ abad ini.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Mohd Safwan Jaafar berkata, perkahwinan merupakan perkara yang mulia yang dituntut dalam agama Islam.
Katanya, ianya boleh diertikan seperti perjanjian ikatan hidup sepanjang hayat dan sepatutnya didirikan atas dasar saling mencintai, percaya mempercayai dan pasangan perlu beriltizam memberi komitmen penuh dalam menguruskan rumah tangga yang dibina bukan hanya sehingga pilihan raya akan datang saja.
“Perlu diingat bahawa perkahwinan campur dengan saudara baru perlu disulami dengan bimbingan agama dan hati yang ikhlas.
“Pasangan asalnya Islam harus bertanggungjawab mendidik pasangannya untuk memahami dan menghayati serta beramal dengan ajaran agama terutama amalan asas dalam agama.
“Sekiranya Pas memikirkan institusi perkahwinan ini hanya untuk memberi keuntungan kepada parti politik mereka, maka tak hairanlah tindakan menunggang agama ini begitu sinonim dengan Pas,” katanya.
Menurutnya lagi, dalam konteks ini, jelas sekali Pas memandang hina kaum wanita terutamanya bukan Melayu dan melihat mereka hanya sebagai ‘objek’ untuk dipergunakan.
“Akhirnya kelak, mungkin kadar penceraian juga akan meningkat disebabkan faktor sebegini dan Islam menerima tempias buruk,”katanya.
Sebelum ini Pas banyak memainkan isu rasis dengan pelbagai bangsa yang ada di Malaysia bagi menarik undi Melayu menyokong mereka.
“Bagaimanapun pada hari ini mereka cuba memikat bukan Melayu untuk mendapat undi pada pilihan raya.
“Tak malukah wahai lebai-lebai menggunakan agama untuk menarik undi bukan Melayu.
“Jagalah maruah kita walaupun di mana kita berada dan jangan nanti bangsa asing anggap lebai-lebai hanya kupang tembaga sahaja,” katanya.