BATU RAKIT – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) seharusnya menjadi entiti utama di peringkat akar umbi, terutama dalam komuniti kampung, dalam membawa perubahan minda serta pemahaman jelas mengenai gagasan Malaysia MADANI oleh Kerajaan Perpaduan.
Perkara itu disuarakan Penasihat Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negeri Terengganu, Bazlan Abd Rahman ketika berucap pada Program Hasrat MADANI dan Kemasyarakatan DUN Batu Rakit.
Bazlan turut menegaskan peri pentingnya peranan JPKKP sebagai jurucakap Kerajaan Perpaduan di akar umbi.
“Ia bagi menerangkan dasar dan polisi, serta segala kebaikan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan untuk rakyat,” katanya.

Program tersebut dianjurkan bersama oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Jabatan Penerangan Negeri Terengganu dan JPKKP DUN Batu Rakit, berlangsung di Bidong View Resort, di sini pada Sabtu.
Program Hasrat MADANI peringkat DUN Batu Rakit adalah siri kedua, selepas siri pertama selesai diadakan di FELDA Selasih minggu lalu.
Majlis dimulakan dengan ceramah Malaysia MADANI yang disampaikan Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Saharuddin Mohamed. Ia disusuli kuiz kenegaraan dikendalikan Pengarah Operasi Negeri JKOM Terengganu, Mohd Aluwi Ismail.

Sebanyak 10 soalan berkaitan kenegaraan diajukan secara spontan dan disambut baik oleh hadirin yang hadir untuk menjawabnya.
Program kali ini dirasmikan Pengerusi Komuniti Kemas Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat.
Dalam ucapannya, Rozi dengan tegas menyatakan kepimpinan masyarakat, khususnya JPKKP, perlu lebih inklusif serta mendengar suara daripada pelbagai golongan di akar umbi.
Beliau turut menekankan perpaduan sebagai kunci utama untuk rakyat dan negeri Terengganu, dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan yang pernah dinikmati dahulu ketika Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah satu aliran yang sama.

Seramai 101 peserta hadir memeriahkan Program Hasrat Madani kali ini, terdiri daripada kepimpinan JPKKP yang berada dalam DUN Batu Rakit.







