
PAPAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan di sepanjang Jalan Pan Borneo Papar termasuk kawasan berhampiran Hap Seng Quarry Sdn Bhd.
Ia susulan aduan orang awam berkaitan pergerakan lori berat yang melanggar peraturan serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Pengarah JPJ Negeri Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, operasi itu dijalankan secara berterusan dan bersasar terhadap pemandu serta pemilik kenderaan perdagangan yang melanggar peraturan jalan.
“Pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan serius dan berisiko tinggi dilakukan, antaranya lebih muatan, membawa muatan panjang dan berbahaya, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, insurans tidak sah, Lesen Memandu Malaysia (LMM) tamat tempoh atau tiada, ketiadaan Lesen Vokasional (GDL) serta Sijil Perakuan Pemeriksaan Berkala yang telah luput.
“Sepanjang tempoh operasi dari 20 hingga 23 Januari 2026, sebanyak 627 kenderaan diperiksa dengan 10 kenderaan ditimbang dan 59 kenderaan diambil tindakan,” ujarnya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.

Tambah Mohd Harris, sebanyak 88 notis saman dikeluarkan dan dua kenderaan disita serta kompaun berjumlah RM12,150 dikenakan, manakala satu kes lebih muatan dibawa ke mahkamah.
“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengutamakan keuntungan sehingga mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Selain itu, tindakan tegas termasuk pendakwaan mahkamah akan terus dilaksanakan,” tegasnya.


