
KULAI – Kerajaan Johor akan berusaha meningkatkan bilangan kuota haji sebagai inisiatif membantu lebih ramai rakyat di negeri ini memperoleh peluang untuk melaksanakan ibadah bagi rukun Islam ketiga itu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dilaporkan berkata, bagi menjayakan hal itu, pihaknya akan terus berusaha untuk mendapatkan kuota tambahan.
“Pada musim haji kali ini, seramai 3,800 rakyat Johor akan mengerjakan haji dan jumlah itu kekal sama dengan jumlah kuota yang diberikan pada tahun-tahun terdahulu.
“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Tabung Haji untuk memohon agar kuota tambahan dapat diberikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Jemaah Haji Tahun 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini, hari ini.
Hadir menyempurnakan majlis, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Tambah Mohd Fared, pihaknya berharap pelaksanaan projek penambahbaikan di Makkah dan Madinah akan dapat meningkatkan jumlah kuota jemaah haji Malaysia dan Johor pada masa depan.
Sementara itu, Onn Hafiz ketika berucap meminta jemaah haji negeri ini untuk turut sama mendoakan kesejahteraan dan kejayaan Johor pada masa depan.
“Semua jemaah haji ini adalah insan yang terpilih daripada ratusan ribu yang berhasrat untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Semoga semuanya beroleh haji yang mabrur dan kembali dengan sihat dan selamat,” ujarnya lapor Kosmo!
Terdahulu, seramai 3,800 rakyat negeri termasuklah 500 jemaah yang mengikuti rombongan Kerajaan Negeri terpilih mengerjakan ibadah haji menerusi 14 penerbangan bermula semalam.







