
KOTA KINABALU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meneruskan usaha dalam memperkasa lebih banyak taska yang berdaftar bagi melindungi hak kanak-kanak di Malaysia khususnya di Sabah.
Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, Jais Asri, pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana taska yang masih enggan mendaftar.
“Di Malaysia, semua taska diwajibkan untuk didaftarkan dengan JKM. Namun begitu masih terdapat taska yang beroperasi tanpa pendaftaran yang sah.
“Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia melibatkan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.
“Taska yang tidak berdaftar tidak dipantau dari segi aspek keselamatan, kebersihan dan kelayakan pengasuh. Ini boleh mengundang risiko besar kepada kanak-kanak yang dihantar ke sana.
“Oleh itu, semua pengusaha taska wajib mendaftar dengan pihak berkuasa bagi memastikan mereka mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya semasa berucap dalam Taklimat Advokasi Pendaftaran Taska dan Penyerahan Plak Taska Berdaftar Anjuran Pejabat Kebajikan Bahagian Kota Kinabalu bagi tahun 2025, di sini pada Khamis.

Tambahnya, ibu bapa juga memainkan peranan penting dengan memastikan taska yang dipilih untuk anak-anak mereka adalah taska yang sah dan berdaftar.
“Pendaftaran taska bukan sahaja memberi perlindungan kepada kanak-kanak, malah membolehkan pengusaha mendapatkan bantuan, latihan dan sokongan daripada kerajaan.
“Ini juga menunjukkan bahawa taska tersebut bertanggungjawab dan profesional dalam perkhidmatannya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru kepada pengusaha lain yang belum berdaftar agar segera tampil dan melengkapkan proses pendaftaran.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan tiada anak-anak yang dihantar ke taska tidak berdaftar yang berisiko dan tidak terjamin kualitinya.
“Penubuhan taska bukan sahaja satu bentuk perniagaan, tetapi juga merupakan satu tanggungjawab sosial yang besar.
“Anak-anak kecil yang dihantar ke taska adalah dalam fasa perkembangan yang sangat penting dari segi fizikal, emosi, kognitif dan sosial.
“Maka, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan mereka dibesarkan dalam persekitaran yang selamat dan sihat,” tegasnya.
Pada majlis tersebut, sebanyak 58 taska menerima Plak Pengiktirafan yang terdiri 50 taska Institusi dan lapan taska tempat kerja telah berdaftar dengan JKM.
Sehingga kini, sebanyak 231 taska telah berdaftar di negeri Sabah di mana 197 taska institusi, 17 taska di rumah, 16 taska di tempat kerja dan satu taska komuniti.
JKM Sabah meluluskan subsidi yuran pengasuhan TASKA melibatkan 42 TASKA sebanyak RM151,200.









