
KUCHING – Program Hari Mesra Warga Emas Sihat & Ceria anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Zon Sarawak dengan kerjasama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Puncak Borneo semalam disifatkan sebagai langkah bermakna dalam mengeratkan hubungan masyarakat di samping memperkenalkan peranan JKOM kepada komuniti setempat.
Timbalan Pengarah JKOM Zon Sarawak, yang mewakili Pengarah Zon Sarawak, Mohamad Sahrizan Putit berkata, penubuhan JKOM pada 1 Februari 2021 bertujuan mewujudkan komunikasi dua hala yang berkesan antara kerajaan dengan rakyat sekali gus memastikan segala inisiatif Kerajaan MADANI dapat difahami dengan jelas.
“Melalui program sebegini, kita dapat mengeratkan silaturahim, memupuk semangat hidup bersatu padu serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga emas. Inilah asas penting dalam membina impian masyarakat Malaysia MADANI,” katanya ketika berucap pada majlis Hari Mesra Warga Emas Sihat & Ceria’ @ Pusat Aktiviti Warga Emas Puncak Borneo pada Sabtu.

Tambah beliau, warga emas bukan sahaja kaya dengan pengalaman, malah menjadi tonggak penting dalam memupuk nilai kebersamaan dan kesejahteraan keluarga serta masyarakat. Justeru, mereka perlu terus diberi perhatian dan ruang untuk kekal aktif serta dihargai.
Program yang berlangsung di PAWE Puncak Borneo itu berjaya mengumpulkan antara 50 hingga 100 peserta dengan pelbagai pengisian menarik termasuk senamrobik, sukaneka, permainan tradisional serta taklimat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan NADI mengenai kemudahan Kenyalang Gold Card (KGC) dan Skim Health Benefit
Sementara itu, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menzahirkan penghargaan kepada JKOM kerana tampil mendekati rakyat dengan cara yang mesra dan inklusif.
“Saya berterima kasih kepada pihak JKOM yang turun padang memberi penerangan jelas mengenai inisiatif Kerajaan MADANI sekali gus menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dalam usaha menyampaikan insiatif Kerajaan MADANI,” ujarnya.






