
SIBU – Projek jeti baharu di Bintangor yang siap lebih awal membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkasa infrastruktur luar bandar, sekali gus merancakkan sosioekonomi penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kemudahan itu bakal menjadi nadi utama pengangkutan bagi komuniti maritim di kawasan tersebut yang masih bergantung kepada sungai sebagai laluan perhubungan.
Menurutnya, jeti yang dibina dengan ciri keselamatan lebih moden itu akan berfungsi sebagai pangkalan pendaratan bot yang efisien untuk penduduk memasarkan hasil pertanian dan perikanan ke bandar.
“Pembinaan jeti ini amat kritikal kerana ia memudahkan urusan harian serta menyokong rantaian ekonomi penduduk yang menggunakan pengangkutan sungai.
“Selain menjamin keselamatan pengguna, ia juga mempercepatkan aliran logistik hasil kampung untuk dijual,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ding memuji kecekapan agensi pelaksana yang berjaya menyiapkan projek tersebut mendahului jadual asal.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) atas penyelarasan efektif dalam memastikan kemudahan itu dapat dinikmati rakyat dengan segera.
Foto: Facebook Dun N46 Meradong





