
KOTA KINABALU – Jentera pilihan raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah kata Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Jelasnya, beberapa siri kursus di setiap kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah diadakan bagi menghadapi pilihan raya.
“Apa yang jelas, GRS sudah bersedia. Kita sudah menubuhkan jentera pilihan raya dan kita telah pun mengadakan beberapa siri kursus untuk menghadapi pilihan raya.
“Bagaimanapun, soal pembahagian jumlah kerusi belum dibincangkan,” katanya selepas menyempurnakan Program Ibadah Qurban Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (PD) Tuaran 2025, di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai sambutan Aidiladha, Hajiji berharap Hari Raya Aidiladha ini akan membawa banyak kesedaran kepada rakyat khususnya umat Islam untuk bekerjasama dan sanggup berkorban untuk kepentingan bersama.
“Ini kerana dalam perayaan Hari Raya Adiladha ini, pengorbanan bukan melibatkan ternakan sahaja tetapi juga dalam setiap kehidupan kita sebagai manusia ini kita kena bertolak ansur, bekerjasama dan sanggup berkorban untuk kebaikan kita bersama.
“Ini bermakna kita perlu mementingkan perpaduan dan juga masa depan rakyat yang berbilang kaum di negeri ini,” ujarnya.
Terdahulu, Hajiji menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Haji Noor Kampung Serusop bersama kira-kira 1,000 jemaah.







