KUANTAN – Menjadi kelaziman setiap tahun, warga peneroka FELDA Jengka 24, dekat Jerantut, tidak pernah gagal untuk tampil dengan pelbagai hiasan menarik sepanjang bulan Kemerdekaan.
Semasa sambutan Hari Kemerdekaan 2024 yang menggunakan tema ‘Malaysia MADANI : Jiwa Merdeka’, setiap pelusuk tanah rancangan itu meriah dengan kibaran Jalur Gemilang.
Bagi Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud, pihaknya sedia mempelbagaikan lagi hiasan di kawasan FELDA itu untuk sambutan kemerdekaan tahun ini.
“Kita mahu pastikan setiap warga peneroka – tidak kira generasi pertama, kedua atau ketiga – mempunyai rasa sayangkan negara ini.
“Untuk tujuan itu, kami sudah memulakan ‘operasi’ memasang Jalur Gemilang di beberapa lokasi strategik di sekitar kawasan tanah rancangan, termasuk laluan utama ke FELDA Jengka 24,” katanya.
Sebagai tanda penghargaan kepada kestabilan dinikmati Malaysia dan kemakmuran dikecapi oleh rakyat Pahang, Razak memberi gambaran sambutan kemerdekaan tahun ini lebih meriah.
“Setiap ketua blok sudah diberi amanah untuk memasang seberapa banyak Jalur Gemilang di kawasan mereka.
“Saya yakin setiap warga peneroka FELDA Jengka 24 sangat bersemangat untuk memastikan hasrat menjadikan sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini lebih luar biasa,” jelasnya.
Bertemakan ‘Malaysia MADANI : Rakyat Disantuni’, dia berharap semangat patriotisme dalam kalangan warga peneroka FELDA Jengka 24 dapat disemarakkan lagi dengan kerjasama semua pihak.







