PUTRAJAYA – Jenazah Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, hari ini.
Orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir, boleh berbuat demikian di Masjid Negara, dari jam 11 pagi hingga 1 tengah hari.
Perkara itu dimaklumkan menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin, pada sidang media di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, malam tadi.
“Penghormatan terakhir akan diadakan di Dewan Solat Utama, Masjid Negara, antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari sebelum Allahyarham dikebumikan.
“Sesiapa yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Pak Lah (Tun Abdullah), bolehlah datang ke Masjid Negara.
“Bagi yang bukan Muslim, mereka dinasihatkan memakai pakaian bersesuaian untuk masuk ke dalam masjid.
“Bagaimanapun, jubah akan disediakan pihak Masjid Negara. Solat jenazah Allahyarham akan diadakan selepas zohor (hari ini),” katanya.
Beliau sekali gus berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana memberi kebenaran mengebumikan jenazah Allahyarham di Makam Pahlawan.
“Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang membenarkan jenazah Pak Lah dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara,” katanya.
Beliau berkata, Abdullah meninggal dunia dalam keadaan tenang, selain semua ahli keluarga turut berada di sisinya ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.







