
PUTATAN – Bakal jemaah haji Sabah diingatkan agar membuat persediaan rapi dari aspek fizikal, ilmu dan emosi bagi menghadapi cabaran cuaca panas ekstrem di Tanah Suci.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, setiap kali musim haji, cuaca di Tanah Suci akan panas dan mencecah sehingga hampir 50 darjah Celcius.
“Saya harap sangat jemaah haji Sabah dapat mempersiapkan diri dengan kesabaran yang tinggi kerana di Tanah Suci ini memang tempat di mana Allah S.W.T nak uji,” katanya kepasa media selepas Perasmian Program Aidilfitri MADANI YAPEIM Peringkat Negeri Sabah di Masjid Dhuyufur Rahman, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Na’im berharap agar jemaah haji mempraktikkan ilmu pengetahuan persediaan haji yang dilaksanakan menerusi kursus-kursus haji agar dapat menunaikan haji dengan sempurna kelak.
“Banyak-banyak ikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Tabung Haji. Jaga imej negara, jaga disiplin, hormati-menghormati, bantu-membantu dan sebagainya.
“InsyaAllah, berkat kerjasama semua jemaah haji dari Sabah ini, mereka akan mendapat haji yang mabrur,” katanya.




