PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangkakan enam siri hujan lebat akan berlaku selepas ini walaupun banjir menunjukkan trend menurun di lapan negeri, ekoran kejadian musim banjir Monsun Timur Laut (MTL) pada kali ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pasukannya sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan selepas ini walaupun keadaan terkini banjir di lapan negeri menunjukkan trend penurunan kecuali di negeri Perak.
Menurutnya, terdapat negeri merekodkan lonjakan kepada jumlah mangsa terjejas walaupun situasi banjir telah mencatatkan penurunan dan JBPM dalam proses membantu mangsa-mangsa yang ada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menunjukkan trend banjir penurunan untuk kembali ke lokasi rumah mereka masing masing.
“Berlaku lonjakan permohonan kepada masing-masing yang tidak berpindah untuk mendapatkan rawatan khususnya semalam sahaja kita menerima sembilan perkhidmatan kesihatan.
“Ini baru siri pertama, mungkin ada empat hingga lima siri hujan lebat lagi kerana kalau ikut rekod lama hujan lebat dan banjir buruk di Sri Muda, Shah Alam, Kemaman (Terengganu), Kuala Krai (Kelantan) berlaku pada 18 Disember ini sebelum terjadi air pasang besar pada 25 Disember.
“Berdasarkan rekod lampau ini, kita beri penegasan kepada pegawai dan anggota peringkat bawah supaya jangan terlalu selesa dan sentiasa bersedia hadapi sebarang kemungkinan selepas ini,” katanya menerusi sidang media di Ibu Pejabat JBPM, hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Hisham turut berkongsi pelbagai cabaran yang perlu dihadapi pasukannya selepas turun meninjau situasi banjir dan misi SAR anggota di lapangan.
Paling membimbangkan, luahnya, banjir pada tahun ini telah banyak mengakibatkan jalan terputus, sekaligus mengganggu pergerakan anggota bomba di lapangan.
“Kalau kita tengok trend banjir di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Besut di Terengganu yang mana 11 bahagian di kawasan berkenaan sebelum ini tidak pernah terlibat banjir agak dalam sebegini.
“Jadi, penduduk di kawasan ini yang pada awalnya sangat yakin air tidak akan sampai ke dalam rumah, kini naik secara mengejut sejak dua hari lepas menyebabkan bomba buat operasi pada waktu malam memindahkan mereka dan memang menyukarkan sesiapa pun yang ada di situ,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan JBPM telah menggerakkan seramai 7,632 anggota untuk menangani pelbagai insiden termasuk mengeluarkan mangsa banjir dan tanah runtuh, sejak 5 November lalu.
Malah, katanya, secara keseluruhannya sebanyak 2,510 operasi pemantauan, 653 opersi pemindahan mangsa dilaksanakan membabitkan sembilan negeri yang dilanda banjir MTL kali ini.
“Walaupun yang berpindah membabitkan lebih 140,000 orang mangsa banjir, yang kita bantu keluarkan dari rumah dan hantar ke PPS adalah seramai 4,978 orang setakat ini.
“Selain itu, sebanyak 450 aset marin selain 350 buah kenderaan terdiri daripada lori, van, kenderaan pacuan empat roda turut digerakkan di lapangan untuk melancarkan lagi misi bantuan,” katanya.




