KOTA KINABALU – Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2025 menyaksikan penambahbaikan penting dalam aspek komunikasi apabila buat pertama kalinya pihak penganjur menyediakan penterjemah khas bagi peserta yang menyampaikan sesi soal jawab (Q&A) dalam bahasa Murut dan Lundayeh.
Pengerusi bersama Jawatankuasa Kerja UNK 2025, Dr Mary Gambidau berkata, langkah ini diambil susulan maklum balas warganet dan orang ramai bagi dua bahasa tersebut.
“Penterjemah ini bukan dalam kalangan juri tetapi individu mahir bagi membantu menterjemah bahasa Murut dan Lundayeh bagi kelancaran sesi penyampaian peserta,” jelasnya semasa sidang media Unduk Ngadau Kaamatan 2025, di sini pada Isnin.
Selain aspek bahasa, tambahnya, penganjur turut menambah baik proses penggubalan soalan bagi sesi Q&A, dengan membentuk satu pasukan khas melibatkan tenaga pakar dalam bahasa dan budaya Kadazandusun.
“Kita dengar juga pandangan netizen tentang penggubalan soalan. Jadi tahun ini, kita bentuk satu pasukan yang kita percaya sangat berwibawa menyediakan soalan.
“Pasukan tersebut terdiri daripada wakil maktab perguruan yang mempunyai kepakaran dalam bahasa Kadazandusun; Yayasan Kadazandusun (KDCA Foundation) dan seorang penggiat bahasa Kadazandusun yang sering terlibat dalam acara budaya,” katanya.
Beliau berharap, dengan inisiatif ini, sesi Q&A yang menjadi antara elemen paling dinanti dalam pertandingan Unduk Ngadau dapat berlangsung dengan lebih inklusif.
Mengenai hadiah wang tunai utama tahun ini, katanya jumlah hadiah meningkat kepada RM15,000 berbanding RM10,000 pada tahun sebelumnya.
“Tempat kedua RM12,000 dan tempat ketiga RM10,000 manakala daripada tempat kelapan sehingga 51 dinaikkan juga kepada RM1,500 setiap seorang,” kata beliau.
Sementara itu, Datuk Joana Kitingan yang juga pengerusi bersama berkata, penganjuran UNK adalah masuk edisi ke-65 bagi tahun ini.
Sehubungan itu, katanya bagi tahun ini terdapat majalah khas diterbitkan ‘Sodop Unduk Ngadau’ untuk dijual.
Katanya, pembeli majalah itu akan menerima setem peringatan UNK yang pertama secara percuma.

Seramai 51 finalis bakal bersaing bagi merebut gelaran Juara UNK 2025, dalam pertandingan kemuncak yang dijangka berlangsung penuh warna-warni pada hujung bulan ini.
Unduk Ngadau sebagai acara tarikan utama yang diadakan sempena Pesta Kaamatan di Sabah.




