
SIKAP dan emosi yang melampau dalam mempertahankan ulama tanpa berlandaskan ilmu serta semangat Islam sebenar boleh menjerumuskan negara ke dalam masalah.
Baru-baru ini, beberapa kejadian yang berisiko termasuk ancaman memukul atau membunuh dikesan dengan sesetengahnya sudah dikenakan tindakan melalui undang-undang.
Justeru itu, beberapa agamawan menyeru masyarakat agar berhati-hati dan tidak terpedaya atau terpengaruh sehingga boleh mengundang masalah pada masa depan.
Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Mohd Hapiz Mahaiyadin, menegaskan sikap sebegitu sekiranya didasari oleh emosi yang melampau maka ia menyemai fanatik orang Arab Jahiliyah.

“Sekiranya ada anak muda giat nak pertahan ulama sehingga mengugut nak memukul seseorang, maka ia menyerupai dasar ‘belalah saudara kamu ketika dia dizalimi atau menzalimi’ orang Arab Jahiliyyah.
“Islam ajar kita mempamerkan akhlak pekerti mulia yang berorientasikan kesejahteraan dan keharmonian,” katanya seperti dilaporkan media.
Tambah Mohd Hapiz tidak salah untuk seseorang Muslim menyatakan rasa cinta terhadap orang soleh dan ulama, namun ia tidak seharusnya melampau sehingga membawa dosa atau kejahatan.
Terdahulu Mohd Hapiz yang dihubungi media bagi mendapatkan pandangannya mengenai fenomena sentimen melampau yang berlaku dalam kalangan anak muda kononnya ingin mempertahankan ulama.
Antara insiden yang membimbangkan itu melibatkan seorang pengguna Tiktok yang mengajak masyarakat menumbuk pempengaruh politik pro-PH atas alasan mahu membela Islam dan ulama.
Pengguna TikTok terbabit mendakwa pempengaruh terbabit menghina ulama melalui sebuat ceramah politik di Sungai Bakap.
Ulama sebenar individu berilmu
Pengasas Pusat Kajian Irfan (Tradisi), Mohd Syazreen Abdullah, berpendapat penyakit sentimen sebegitu berpunca daripada sistem pendidikan yang gagal melahirkan masyarakat berfikiran kritis serta menghormati kesarjanaan ilmu.

“Kesannya mereka mudah terpengaruh dengan dakwaan pihak yang mendakwa diri ulama.
“Ulama yang sebenar ialah individu yang berilmu. Anak muda jangan mengikut membabi buta sebaliknya bijak menilai adakah ulama yang mereka ikuti itu memberi kesan kepada nilai intelektual mereka,” katanya.
Salahguna slogan pertahan ulama
Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno, Mohd Khairuddin Aman Razali, berpendapat slogan mempertahankan ulama sekarang telah disalahgunakan oleh sesetengah pemimpin politik.

“Segelintir orang politik menyempitkan maksud ulama iaitu merujuk kepada seseorang tokoh dalam parti tertentu yang mereka dukung.
“Padahal ulama sebenar merentasi kepartian. Termasuk dalam golongan ulama ialah para mufti dan guru agama yang di luar parti politik.
“Saya beri contoh ketika para mufti mengeluarkan fatwa yg tidak senada dengan ulama parti tertentu, mereka turut diserang dan dihina.
“Jadi apakah benar terma ‘mempertahankan ulama’ itu atau ia sebenarnya mempertahankan orang parti sahaja?” katanya.






