SETIAUSAHA Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Khairuddin Aman Razali menasihatkan penyokong dan ahli Pas supaya tidak terpesona dengan kisah mimpi bertemu Nabi Muhammad SAW oleh pimpinan tertinggi parti itu.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Terengganu itu menjelaskan bahawa mimpi yang baik datang daripada Allah dan bukanlah dalil untuk sesuatu tindakan.
“Dalam Islam, mimpi baik (datangnya) daripada Allah sebagai mana hadis sahih dan boleh ditafsirkan dengan kebaikan.
“Namun, mimpi bukannya dalil dan hujah untuk sesuatu tindakan termasuk mimpi bertemu dengan Rasulullah SAW kerana sebagaimana para ulama mujtahid boleh tersilap dalam ijtihad maka demikianlah juga para pentafsir mimpi juga boleh tersilap,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu majlis berkata, beliau bermimpi berjumpa Rasulullah yang datang bersama sahabat baginda di Kampung Rusila, dekat Marang, Terengganu.
Abdul Hadi mendakwa, dalam mimpi itu, Rasulullah datang untuk ‘bertemu pihak Sunni dan Syiah’.
Khairuddin bagaimanapun mengingatkan bahawa terdapat kisah seorang lelaki bertemu Rasulullah dan menceritakan mimpinya.
“Abu Bakar al-Siddiq cuba mentafsirkan (mimpi) lalu Nabi SAW mengulas ‘kamu betul sebahagian dan tersilap pada sebahagian’, (hadis Bukhari nombor 7000 dan Muslim nombor 2269).
“Sekiranya Abu Bakar al-Siddiq pun boleh tersilap mentafsirkan mimpi yang baik, apatah lagi selain beliau.
“Justeru, itulah mimpi tidak boleh dijadikan hujah dan dalil pada apa-apa tindakan,” katanya.
Beliau memetik kata Imam Zarkasyi dalam al-Bahr al-Muhit fi Usul al-Fiqh ‘yang tepat ialah mimpi tidak mensabitkan satu hukum syarak atau satu bukti. Meskipun mimpi bertemu dengan Nabi itu benar dan syaitan tidak boleh menyerupai Nabi tetapi orang yang tidur bukanlah orang yang berkelayakan untuk menyimpan dan meriwayatkan kerana ia tidak boleh menjaganya’.
“Adapun mentafsirkan mimpi ia harus bagi mereka yang diberikan kemahiran.
“Kata Ibnu Abd al-Barr dalam al-Tamhid; ditanya kepada Imam Malik adakah setiap orang boleh mentafsirkan mimpi? Lalu kata beliau adakah dengan kenabian dipermainkan?
“Kata Imam Malik lagi; tidak boleh mentafsirkan mimpi melainkan yang mahir tentangnya. Sekiranya dia bermimpi yang baik dia boleh menceritakan.
“Sekiranya dia bermimpi yang tidak elok hendaklah dia berkata baik atau diam,” ujarnya.





