Jangan terleka dengan kejayaan dikecapi Malaysia, semua pihak harus berwaspada

PUTRAJAYA –  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat  agar tidak hanyut dengan kejayaan demi kejayaan yang dikecapi negara ketika ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan, semua pihak perlu terus berwaspada dalam mempertahankan keharmonian dan kestabilan negara yang menjadi asas kepada kemajuan Malaysia.

Menurutnya, walaupun Malaysia kini menjadi tumpuan dunia dari segi pelaburan dan pelancongan, kejayaan itu perlu diiringi dengan kesedaran untuk terus memperkukuh kestabilan politik, tatakelola yang baik dan semangat perpaduan nasional.

“Negara yang relatif kecil seperti Malaysia apabila meningkat maju, tentu menjadi perhatian. Positifnya Malaysia menjadi perhatian untuk pelancongan, pelaburan.

“Jangan kita terlalu selesa dengan kejayaan ini. Kita syukur, tapi bersyukur itu harus ada kewaspadaan. Negara kecil seperti Malaysia, bila meningkat maju, ia jadi perhatian baik untuk pelaburan, pelancongan, tetapi ada juga iri hati dan permusuhan luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan November di Dewan De’ Seri Endon Puspanitapuri, pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, Malaysia kini mencatat rekod pencapaian memberangsangkan termasuk prestasi ringgit terbaik di Asia, kadar pengangguran rendah dalam tempoh satu dekad serta pelaburan tertinggi sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Ini semua kerana berkat kerjasama semua. Pertama, dengan izin Allah SWT. Kedua, dengan pasukan kita, jemaah Menteri, perkhidmatan awam, seluruh sektor awam dan swasta,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kejayaan Malaysia ini telah  meletakkan negara di radar global, termasuk dalam persaingan geopolitik dan ekonomi.

“Persoalannya, apakah kita mampu bertahan dari cabaran domestik dan luar, termasuk persaingan dan geopolitik,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menegaskan kestabilan politik, perpaduan dan hala tuju negara mesti dipertahankan, sambil mengingatkan supaya budaya politik sempit tidak menjadi penghalang kemajuan.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan mengingatkan supaya semua pihak tidak mengambil dengan mudah keamanan dan keharmonian yang dikecapi Malaysia.

“Cuba kita renung negara di Asia, di Afrika yang suku kaumnya, walaupun nampak relatif aman tetapi ‘volatile’ (tidak stabil), jadi sebab itu saya kata jangan buat andaian mudah, jaga keharmonian ini.

“Renung dan lihat negara Asia yang ada percaturan, pergaduhan antara mazhab, kaum, ideologi yang panas dan menyebabkan gambaran negara itu sebagai dalam keadaan yang tidak stabil,”

“Yang penting bukan siapa berkuasa, tetapi bagaimana kuasa itu diuruskan. Kalau tidak diurus dengan baik, sebesar mana pun kekayaan negara, ia tak ke mana,” katanya.

Beliau turut menyentuh keyakinan pelabur global terhadap hala tuju Malaysia dalam teknologi masa depan termasuk kecerdasan buatan (AI) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

“Bila Nvidia jumpa saya, dia bukan datang sebab Anwar. Dia datang sebab negara ini jelas dasarnya, jelas haluannya. Ini kekuatan kita.

“Negara yang meningkat maju tentu menjadi perhatian,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan para pemimpin semua peringkat bahawa kuasa dan jawatan adalah amanah sementara yang wajib digalas dengan penuh tanggungjawab.

“Jabatan itu hanya pinjam sebagai amanah sementara… Ketua unit, KSN, perdana menteri, semua itu sementara. Ada perdana menteri tak cukup setahun, dua tahun, tiga tahun, ada perdana menteri 22 tahun. Itu peringatan, tiada yang kekal,” jelasnya.

Related Posts

‘Awak tahu kita tak rayu,’ PMX sindir bekas menteri 

INANAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur pihak tertentu termasuk bekas menteri supaya meneliti kenyataan rasmi Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai kedudukan sebenar rayuan kerajaan berhubung isu 40…

Lebih lanjut

teruskan membaca
596 calon dari 23 parti sah bidik 73 DUN demi mandat rakyat
  • FatinFatin
  • November 15, 2025

KOTA KINABALU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menyaksikan persaingan luar biasa apabila seramai 596 calon daripada 23 parti politik tampil membidik 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Awak tahu kita tak rayu,’ PMX sindir bekas menteri 

‘Awak tahu kita tak rayu,’ PMX sindir bekas menteri 

Pelan Tindakan Khas Paya Besar di landasan betul

Pelan Tindakan Khas Paya Besar di landasan betul

596 calon dari 23 parti sah bidik 73 DUN demi mandat rakyat

  • By Fatin
  • November 15, 2025
596 calon dari 23 parti sah bidik 73 DUN demi mandat rakyat

Caj guna Jalan Genting diharap tidak beban rakyat Pahang

Caj guna Jalan Genting diharap tidak beban rakyat Pahang

BN-PH capai persefahaman hadapi pertembungan kerusi di PRN17 Sabah – Zahid

BN-PH capai persefahaman hadapi pertembungan kerusi di PRN17 Sabah – Zahid

Keprihatinan PMX terpancar, pesakit uzur terharu terima bantuan

Keprihatinan PMX terpancar, pesakit uzur terharu terima bantuan