
BINTULU – Kerja pembaikan segera telah dilaksanakan di Medan Flyover berhampiran Taman Kemena Raya, susulan aduan penduduk akan keadaan jalan yang rosak teruk akibat hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang berkata, beliau bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor telah turun padang meninjau lokasi kejadian sejurus menerima laporan daripada orang awam.
Menurutnya, keadaan cuaca yang tidak menentu mengakibatkan terbentuknya beberapa lubang di laluan tersebut, sekali gus melambatkan pergerakan kenderaan dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
“Kerja pembaikan telah dijalankan pada hari yang sama dan syukur, keadaan trafik kini kembali lancar. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang bertindak pantas menyelesaikan masalah ini demi keselesaan pengguna,” katanya.
Mengulas lanjut, Johnny memberitahu beliau telah mengarahkan pihak kontraktor supaya lebih kerap melakukan pemantauan keadaan jalan raya, terutamanya sepanjang musim hujan bagi mengelakkan masalah sama berulang.
Jelasnya, antara langkah proaktif yang diambil ialah memeriksa permukaan jalan secara berkala, memantau kawasan berisiko dinaiki air serta menambah baik ciri keselamatan di sepanjang laluan jejambat berkenaan.
“Medan Flyover merupakan antara laluan utama di Bintulu. Sebarang kerosakan jalan di kawasan ini pasti akan menjejaskan kelancaran trafik harian penduduk. Saya bersama pasukan akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kerosakan jalan, kejadian banjir atau masalah kemudahan awam kepada pihak berkaitan.
“Keselamatan jalan raya memerlukan kerjasama dan keprihatinan semua pihak,” tambahnya.
Foto: Facebook Johnny Pang





