
KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan notis penutupan jalan secara berperingkat bagi Jalan Pintasan Ujana bermula 1 hingga 20 Oktober ini.
DBKK dalam kenyataannya, di sini, pada Isnin, memaklumkan penutupan selama tiga minggu itu memberi ruang kepada kerja-kerja membaik pulih jalan raya rosak di bahagian berkenaan.
Sehubungan itu, jalan terlibat akan ditutup sepenuhnya bermula pukul 9.30 malam hingga 6.00 pagi.
Seterusnya dibuka hanya untuk jalan sehala dari laluan Taman Kingfisher ke Jalan Tuaran Bypass pada pukul 6.00 pagi hingga 9.30 malam untuk 7 hingga 13 Oktober.
Manakala pada 14 hingga 20 Oktober, laluan akan dibuka hanya untuk jalan sehala dari Jalan Tuaran Bypass ke Taman Kingfisher bermula pukul 6.00 pagi hingga 9.30 malam.
“Orang ramai dinasihatkan agar mengambil laluan alternatif lain sepanjang tempoh kerja-kerja membaik pulih dijalankan di kawasan berkenaan.
“Berhati-hatilah menggunakan jalan yang terlibat semasa dibuka untuk kegunaan pada siang hari sepanjang tempoh berkenaan bagi mengelakkan masalah tidak diingini berlaku dan sebarang kesulitan amatlah dikesali,” kata kenyataan itu.







