KOTA ISKANDAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern, menggesa kerajaan mengambil tindakan segera terhadap isu keselamatan dan kesesakan serius di Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam (FT001), khususnya di laluan KM37 hingga KM53 yang didakwa semakin membahayakan pengguna jalan raya.
Ketika membahaskan isu berkenaan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau menegaskan bahawa rakyat Bukit Batu kini berdepan risiko harian akibat keadaan jalan yang sesak, dipenuhi kenderaan berat serta berpotensi tinggi mengundang kemalangan.
Menurut beliau, keadaan di laluan utama itu tidak lagi boleh dianggap sekadar isu ketidakselesaan pengguna jalan raya, sebaliknya telah menjadi isu keselamatan awam yang memerlukan tindakan segera pihak berkuasa.
“Berapa lagi nyawa perlu terkorban sebelum tindakan diambil? Rakyat sudah terlalu lama menanggung risiko setiap hari akibat kelewatan penyelesaian terhadap masalah ini,” katanya.
Arthur Chiong turut mempersoalkan kegagalan kerajaan menyediakan garis masa jelas berhubung pelaksanaan projek pelebaran jalan dan langkah keselamatan yang dijanjikan sebelum ini.
Beliau berkata, rakyat mahu melihat tindakan konkrit dan bukan sekadar kenyataan atau janji yang berulang setiap kali isu tersebut dibangkitkan.
Dalam kenyataannya, beliau turut mengemukakan beberapa tuntutan utama termasuk mempercepatkan projek pelebaran jalan, menaik taraf persimpangan berbahaya, melaksanakan audit keselamatan jalan raya serta mengumumkan kajian impak trafik secara menyeluruh kepada rakyat.
“Jika kerajaan benar-benar serius, buktikan dengan tindakan, bukan sekadar kenyataan,” tegas beliau lagi.
Selain membangkitkan isu infrastruktur dan keselamatan jalan raya, Arthur Chiong turut menyentuh soal demokrasi dan kepentingan memastikan wakil rakyat yang dipilih terus menjadi teras utama Dewan Undangan Negeri.
Beliau menegaskan bahawa mandat rakyat tidak boleh dipermainkan dan suara rakyat perlu diberi keutamaan dalam setiap keputusan kerajaan.
Katanya, beliau akan terus mendesak tanpa kompromi sehingga penyelesaian sebenar terhadap isu berkenaan dilaksanakan demi keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan Bukit Batu.







