
BELURAN – Masyarakat Beluran perlu menjadikan budaya gotong royong sebagai satu amalan dalam kehidupan seharian mereka.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Samad Jambri berkata, amalan gotong-royong bukan saja membantu meringankan beban malah memberi banyak manfaat terutama dalam memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan mereka yang terlibat.
“Ia juga secara tidak langsung mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang sejahtera.
“Tanggungjawab kebersihan dan keceriaan harus dijaga bersama terutama kawasan-kawasan tumpuan orang ramai seperti kawasan pekan dan di sekitarnya perlu diamalkan sepanjang masa,” katanya.
Beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk berkata demikian sempena Hari Cuci Malaysia 2024: Program Pembersihan Mega seluruh Malaysia Peringkat Daerah Beluran di Anjung Muara Pekan Beluran, pada Jumaat.
Program yang bermula pukul 7.30 pagi itu, dihadiri kira-kira 120 dari warga kerja Majlis Daerah Beluran (MDBLR) selaku penganjur program termasuk pemimpin setempat, para peniaga serta orang awam.
Hadir sama Pegawai Daerah Beluran, Roger Appolonius, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Beluran, Hiul Binua@Benua dan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Beluran, Zamil Ismail.





