
KOTA KINABALU – Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) terus memperkukuh kerjasama serta peranan strategik di Sabah melalui kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Aman di Istana Kinabalu, di sini pada Isnin.
Ketua Pengarah JKOM, Datuk Ismail Yusop berkata, kunjungan berkenaan adalah untuk memberikan penjelasan dan penerangan langsung tentang fungsi dan peranan JKOM di Sabah.
Katanya, jabatan ini sebagai sebuah agensi sosiopolitik yang turun ke lapangan (komuniti) untuk memberikan penerangan dan penjelasan tentang polisi dan dasar kerajaan ‘government of the day’.
“Kerajaan MADANI ini banyak melakukan pelbagai inisiatif untuk rakyat tetapi rakyat juga perlu disedarkan, diberikan kefahaman tentang segala usaha dan inisiatif yang dilakukan bersama-sama.
“Kita membantu bukan saja untuk meraihkan dan mendendangkan kejayaan yang kita buat, tetapi untuk terus memberikan dukungan kerana kestabilan politik, kesejahteraan rakyat itu sentiasa menjadi fokus dan tumpuan kita,” katanya semasa ditemui media, pada Isnin.

Dalam pada itu, Ismail turut menyentuh peranan generasi muda yang semakin dominan dalam ruang komunikasi dan media sosial.
Katanya, realiti perkembangan teknologi maklumat memerlukan pendekatan lebih inklusif daripada JKOM dalam mendekati golongan tersebut.
“Bagi saya kita tak boleh menghalang, kena terima realiti bahawa liberalisasi maklumat dan penggunaan sosial media menjadi sesuatu yang sangat dominan terutama dalam kalangan generasi muda.
“Sebab itu JKOM dan jentera yang ada juga kena faham bahawa kalau kita mengambil pendekatan konfrontasi mereka akan lebih jauh dari kita,” ujarnya.
Tambah Ismail, pendekatan bersemuka dan turun padang amat penting kerana generasi muda memiliki latar pemikiran berbeza berbanding generasi.
“Jadi untuk itu kena ada banyak program-program ‘touchdown’ sebab kalau kita terlalu bergantung dengan sosial media saja, ‘the human part’ itu agak tertinggal.
“Sebab itu kena perbanyakkan program agar ‘engagement’ dengan anak-anak muda ini terjalin,” ujarnya.
Kunjungan hormat itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti), Suwadi Guliling; Pengarah JKOM Sabah, Milus Alu@Abd Wahad; dan Penolong Pengarah JKOM Sabah, Busmin Brahim.






