PUTRAJAYA – UMNO masih belum membuat sebarang perbincangan berkenaan penyertaaan kembali bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ke gelanggang politik bersama parti tersebut.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut tidak disentuh atau dibincangkan ketika bertemu Khairy pada majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman pada dua minggu lalu.
Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu enggan mengesah atau menafikan laporan media bahawa beliau telah memberi restu kepada bekas Ketua Pemuda UMNO terbabit yang kini menjadi penyampai HotFM bagi menyertai semula parti.
“Apa yang terpapar dalam media itu adalah berita yang ditulis oleh media dan saya amat menghormatinya.
“Saya tidak mahu menyanggah mana-mana wartawan yang menulis mengenai perkara itu, seperti mana yang pernah disanggah oleh seseorang.
“Setakat ini (UMNO) belum lagi (buat sebarang perbincangan). Saya cuma bertemu dengan beliau di majlis perkahwinan dan kita tidak bincangkan apa-apa pun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Festival Idea (FoI) Putrajaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Selasa.
Terdahulu, The Malaysia Press (TMP) melaporkan penyertaan Khairy menyertai semula gelanggang politik bersama UMNO dalam masa terdekat hanyalah spekulasi.
Sumber memaklumkan, bekas Ahli Parlimen Rembau itu yang kini menjadi penyampai radio di Hot FM masih belum menghantar borang permohonan bagi menyertai parti tersebut.
Namun, katanya, walaupun tidak akan kembali dalam tempoh terdekat, Khairy telah menyatakan keinginan menyertai semula parti itu, selepas dipecat pada Januari 2023.








