
KULAI – Usaha memperkasa sektor pendidikan terus menjadi keutamaan apabila lawatan turun padang dilaksanakan bagi meninjau kesiapsiagaan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra 2 yang dijadual mula beroperasi secara berperingkat tahun ini.
Lawatan tersebut turut disertai oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, En. Zulkurnain Abdul Rahman serta Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai, Haji Abdul Rahman.
Tinjauan itu bertujuan memastikan setiap perancangan yang dilaksanakan berada pada landasan tepat serta benar-benar memenuhi keperluan masyarakat setempat, khususnya dalam menangani isu kesesakan sekolah di kawasan Bandar Putra.
Menurut beliau, sekolah sedia ada seperti SK Bandar Putra dan SK Putra Utama kini berdepan peningkatan jumlah murid yang memberi tekanan terhadap kemudahan dan keselesaan pembelajaran.
“Pembukaan SK Bandar Putra 2 merupakan langkah signifikan dalam mengurangkan kesesakan serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada murid,” katanya.

Dalam masa sama, kerajaan turut merancang pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra 3 yang telah diluluskan menerusi Belanjawan 2026 sebagai langkah jangka panjang bagi menampung pertumbuhan penduduk dan keperluan pendidikan di kawasan tersebut.
Pendekatan Kerajaan MADANI yang menekankan turun padang dan mendengar suara rakyat dilihat sebagai faktor penting dalam memastikan setiap isu dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan.
“Apabila kemudahan pendidikan dipertingkatkan, murid dapat belajar dengan lebih fokus dan selesa, sekali gus menjamin masa depan yang lebih cerah,” ujarnya.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan akses pendidikan berkualiti terus diperkasa demi kesejahteraan generasi akan datang.





