KUALA LUMPUR – “Lebih Hamas daripada Hamas”, demikian tempelak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pembangkang berkaitan isu BlackRock.
Beliau menegaskan, mungkin terdengar baik untuk membatalkan semua perjanjian dengan syarikat berkaitan Israel seperti Apple dan Microsoft tetapi ia tidak realistik.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, perbezaan mesti dibuat antara syarikat berkaitan Israel dan syarikat berpangkalan di Israel.
“Tahun 2021 BlackRock itu ada agenda yang sama ini masalahnya hukum itu berubah ikut keadaan.
“Kita diserang sekarang termasuk oleh rakan-rakan sebelah sana, dia lupa bahawa keputusan penting memberikan peranan BlackRock itu 2021, 26 Februari tatkala Pagoh menjadi Perdana Menteri dan ramai menteri pada masa itu di sebelah sana.
“Apa dia keputusannya itu iaitu menyerahkan KWSP akaun terurus berasingan SMA bersama ekuiti persendirian patuh syariah pertama yang terbesar di dunia yang diberikan kepada BlackRock. Tahniahlah… jumlahnya USD600 juta bersamaan RM2.5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Dewan Rakyat, hari ini bagi mempertahankan rancangan pengambilalihan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) melibatkan Rakan Kongsi Infrastruktur Global (GIP).
Kontroversi mengenai MAHB tercetus pada 15 Mei, apabila Khazanah Nasional Berhad mengumumkan Abu Dhabi Investment Authority dan GIP – melalui GIP Aurea Pte Ltd – akan membentuk konsortium untuk memperoleh saham dalam pengendali lapangan terbang itu.
Keputusan itu mendapat kritikan berbagai pihak selepas BlackRock, sebuah syarikat yang disifatkan mempunyai hubungan rapat dengan Israel didapati sedang dalam usaha memperoleh saham GIP.
Perdana Menteri turut mengingatkan Sidang Dewan bahawa tidak lupa pada 2021 hingga 2022 syarikat milik Israel masih beroperasi di Malaysia.
Tegasnya, 2023 kerajaan telah membatalkan dan arahan ini yang dipersetujui oleh jemaah menteri.
“Kita tidak izinkan mana-mana syarikat Israel beroperasi di Malaysia. Kalau syarikat itu ada kepentingan Israel, keputusan kita syarikat Israel. Syarikat Apple, Microsoft, Nvidia semua ada kepentingan israel. apakah kita batalkan?
“Dia bunyi sedaplah bagi orang seronok kita ni hebat pejuang tapi sebenarnya tidak realistik.
“Saya bincang dengan pimpinan Hamas tidak berbangkit pun. Ini lebih Hamas daripada Hamas,” katanya.






