
TANJUNG KERAMAT – Bekalan air bersih yang tidak menentu di beberapa penempatan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, menjadi fokus utama calon Barisan Nasional (BN), Jeffery Nor Mohamed sekiranya beliau diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Jeffery berkata, pengalaman turun padang di sekitar Tanjung Keramat membolehkan beliau menyaksikan sendiri keadaan hidup penduduk yang sering berdepan gangguan bekalan air.
Menurutnya, penyelesaian yang ditawarkan bukan sekadar janji bulan dan bintang, sebaliknya langkah praktikal agar isu asas itu dapat ditangani segera selari dengan keperluan penduduk dan aspirasi pembangunan rakyat di Sabah.
“Masalah air di Putatan ini ialah soal konsistensi. Kadang-kadang ada air, kadang-kadang tiada. Di kampung saya sendiri pun, air hanya ada pada waktu malam.
“Jadi, kalau kita mahu solusi masalah itu, antara kita tawarkan kepada pengguna adalah pembinaan tangki imbangan mengikut zon bagi memastikan konsistensi bekalan air bersih dan mengurangkan masalah gangguan air.
“Saya mahu melihat semula kehidupan masyarakat di Tanjung Keramat dan Putatan kembali normal,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) ketika ditemui selepas walkabout bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem di Taman Jumbo, pada Rabu.

Mengulas pertembungan 11 penjuru di DUN Tanjung Keramat, yang menyaksikan jumlah calon terbanyak dalam sejarah di kawasan itu, Jeffery berkata, situasi itu memberi lebih banyak pilihan kepada pengundi sekali gus mewujudkan medan politik yang lebih matang dan kompetitif.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan menegaskan bahawa partinya dan BN di kawasan terbabit menerima perkembangan itu dengan terbuka kerana mencerminkan amalan demokrasi yang matang.
“11 pencalonan di DUN Tanjung Keramat satu perkara sejarah kerana sebelum ini, kalau paling banyak pun hanyalah perlawanan empat penjuru. Kali ini saingan luar biasa.
“Bagi UMNO dan BN Putatan, kita menjunjung konsep demokrasi berparlimen. Kita raikan demokrasi ini dengan baik dan harmoni. Kehadiran ramai calon bukan masalah, ia sebahagian daripada proses pilihan raya,” katanya.
Dalam pada itu, Jeffery turut menyeru semua calon dan penyokong parti agar menjalankan kempen secara berhemah demi menjaga keharmonian masyarakat setempat.
“Saya berharap kempen dilakukan sebaik-baiknya supaya kehidupan komuniti di Putatan, khususnya di Tanjung Keramat, kekal harmoni dan dapat mengeratkan lagi silaturahim antara kita,” katanya.
DUN Tanjung Keramat menyaksikan pertembungan 11 penjuru dengan Jeffery berdepan Shah Alfie Yahya dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Farish Adamz Shah (Perikatan Nasional), Firdaus Diun (Warisan), Segarah Miasin (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat), Mahadthir Asbollah (Parti Impian Sabah), Mil Kusin Abdillah (Parti Kerjasama Anak Negeri) dan Rosday Wasli (UPKO).







