
ATHENS – Aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg, serta lebih 70 individu pelbagai kewarganegaraan dijangka dibenarkan keluar Israel hari ini selepas ditahan ketika menaiki flotila bantuan Gaza yang dipintas tentera negara itu.
Menurut kerajaan masing-masing pada Ahad, kebanyakan mereka yang dibebaskan daripada tahanan Israel akan diterbangkan ke Greece sebelum pulang ke negara asal.
Kumpulan itu termasuk 28 warga Perancis, 27 (Greece), 15 (Itali) dan sembilan (Sweden).
Seramai 21 warga Sepanyol pula telah tiba di negara mereka semalam.
Namun, masih terdapat beberapa warga asing yang kekal ditahan termasuk 28 warga Sepanyol.
Semua mereka menaiki 45 kapal Global Sumud Flotilla yang membawa aktivis dan ahli politik dengan tujuan melepasi sekatan Israel untuk menghantar bantuan ke Gaza, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan krisis kebuluran sedang berlaku.
Israel mula memintas kapal-kapal berkenaan di perairan antarabangsa pada Rabu lalu.
Seorang pegawai Israel berkata pada Khamis, lebih 400 individu dihalang daripada sampai ke Gaza.
Kementerian Luar Itali dan Greece mengesahkan warganegara mereka akan diterbangkan dari Israel ke Athens pada Isnin, manakala Menteri Luar Itali, Antonio Tajani berkata 15 rakyat Itali akan dibantu untuk transit pulang ke tanah air.
Kementerian Luar Perancis pula memaklumkan, 28 rakyatnya akan diterbangkan ke Greece, sebahagian besar daripada 30 warga Perancis yang ditahan Israel.
Media Sweden melaporkan sembilan rakyatnya turut dijangka ke Greece meskipun Kementerian Luar Negara itu belum mengesahkan destinasi.